KUALA ROMPIN: Allahyarham Bilal Mahmud, 29, sangat gembira apabila isterinya, Siti Khatijah Ismail, 27, dapat bertukar ke sini awal bulan depan tetapi hasrat mereka untuk tinggal serumah tidak termakbul, sebaliknya dikebumikan dalam satu liang lahad.
Sebelum kejadian, mangsa bersama ibunya dalam perjalanan pulang ke Kampung Jenglau Empat, di sini, selepas menjemput isterinya di Alor Gajah, Melaka.
Difahamkan, ibu dan isteri Bilal meninggal dunia di tempat kejadian manakala dia mati ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Rompin.
Abang sulung Bilal, Sa’aid Mahmud, 40, berkata adiknya terpaksa berulang-alik dari rumahnya ke Melaka setiap hujung minggu untuk mengambil isteri yang bekerja sebagai pensyarah di Kolej Komuniti Alor Gajah, Melaka.
“Dia sering berulang ke sana menjemput isterinya untuk pulang ke sini atau ke rumah mentuanya di Pengkalan Chepa, Kelantan sejak setahun mereka berkahwin,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di kampung berkenaan di sini, semalam.
Menurutnya, Khatijah yang mengandung empat bulan anak sulung dijadualkan mula bertugas di Kolej Komuniti Kuala Rompin pada 1 Mac ini dan pada hari kejadian Bilal menjemputnya pulang ke kampung.
Arwah anak keenam daripada tujuh beradik dan lebih mesra dipanggil Ateh di kalangan ahli keluarga terdekat.
“Sebelum ini dia hanya tinggal berdua bersama ibu di rumah pusaka peninggalan arwah ayah selain isterinya yang pulang sekali-sekala pada hujung minggu.
“Namun apabila isterinya dapat bertukar ke sini, arwah sangat seronok dan gembira, tambahan pula bakal menerima anak pertama pada tahun ini,” katanya.
Sa’aid berkata, dia tidak menyangka tragedi ini akan berlaku memandangkan arwah sempat menghubunginya sebelum kejadian kira-kira jam 3.40 pagi dan berhasrat untuk berjumpa apabila sampai di kampung.
“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang bercuti ke kampung manakala arwah masih di Alor Gajah dan sebelum arwah bertolak pulang, dia sempat menghubungi isteri saya dan memberitahu akan berjumpa kami keesokannya (hari kejadian).
“Sebelum itu saya hairan apabila arwah yang boleh dikatakan kelakar tapi lembut membahasakan dirinya ‘aku’ ketika bercakap melalui telefon dengan saya, sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian sebelum ini, namun saya menganggap ia hanya gurauan semata-mata dan tidak terlalu memikirkannya.
“Ketika sampai di kampung kira-kira jam 6.30 pagi saya sempat berehat dan hanya mengetahui berita sedih itu kira-kira jam 9 pagi selepas diberitahu adik,” katanya yang tinggal di Kota Damansara, Kuala Lumpur.
Menurut Sa’aid, lima kali solat jenazah diadakan berikutan terlalu ramai kenalan menziarahi mangsa sebelum ketiga-tiga jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jenglau Empat, di sini, kira-kira jam 11 malam kelmarin.
Dia pasrah dan reda dengan kejadian yang meragut nyawa tiga ahli keluarganya dan menganggap kejadian itu adalah ketentuan Allah.HMETRO
**Untuk Makluman, Allahyarhamah Siti Khatijah Ismail adalah rakan sekelas aku sewaktu belajar selama 3 tahun di Politeknik Johor Bahru. Moga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang solehah.. AL-FATEHAH...
*Lagi berita dukacita ini di BERITA HARIAN
2 comments:
Al-Fatihah
AL-Fatihah... semoga rohnya dicucuri rahmat. hari ini juga sy br sahaja menyaksikan kemalangan ngeri motosikal dan lori. teruk. kasihan. di jalan rawang. Allahu Akbar!
Post a Comment