Thursday, November 25, 2010

Mak Janda Nak Jadi Permaisuri

foto Mak Janda Nak Jadi Permaisuri

Mak Janda Nak Jadi Permaisuri

fajridil.blogspot.com - Macam-macam punya gila. Macam-macam punya sandiwara sedang dipentaskan. Lepas satu, satu, tak habis habis. Macam-macam punya cerita. Macam-macam punya labun.

Aku yang jadi tukang karut ini tak sempat nak berjanguk ada sahaja cerita baru yang wajib 'diselampitkan'.

Belum pun abis cerita Saifool, ada pula cerita budak sekolah mati kena terkam buaya di Shah Alam. Sebelum ini ada kes anak Cina cekik leher sendiri. Kes ini masih belum selesai.

Sudah bertahun-tahun laporan mahkamah tak siap-siap sampai uban aku tumbuh di ketiak. Agaknya sudah reput leher anak Cina dalam kubur tetapi siasatan macam mana dia cekik leher dia sendiri masih jadi satu misteri.

Kisah punya kisah, ada satu kisah yang jadi raja segala kisah. Inilah dia datuk dan nenek moyang dari semua kisah-kisah yang pernah dikisahkan. Inilah kisah benar. Kisah benar yang benar-benar belaka. Kisah Mak Janda yang ingin jadi permaisuri.

Al-kisah mengikut kata sahibul hikayat adalah seorang Mak Janda dari negeri Antah Berantah. Dari apa yang telah diceritakan, Mak Janda ini ditakdirkan pendek dan gempal ketika dilahirkan.

Dari zaman kanak-kanak lagi orang sekampung telah memanggil dia Minah Becok kerana mulutnya cukup becok. Becoknya bukan macam murai tercabut ekor tetapi macam Samy Vellu ditemubual RTM.

Maka orang orang kampung pun membuat pantun dan seloka:

Ada seorang Minah Becok
Badannya gempal kakinya tepok
Siang tidur malam bermimpi
Hendak menjadi Raja Permaisuri

Maka mengikut tuan yang empunya cerita, Minah Becok ini pun membesarlah. Maka Si Minah ini berkahwin dan beranak. Mengikut cerita yang didengar melalui akhbar Baca Gembira, si minah ini telah tujuh kali berkahwin dan tujuh kali bercerai.

Berita kahwin cerai kahwin cerai ini sehingga sekarang masih belum digazetkan dalam Parlimen. Ia masih menjadi rahsia negara.

Tok bomoh misai berdenting

Tidaklah terhitung jumlah anak yang lahir sehinggakan orang kampung membuat pantun dan seloka:

Siang tidur malam bermimpi
Hendak menjadi Raja Pemaisuri
Pilih jantan silih berganti
Memasang perangkap nak jadi bini menteri

Maka pada satu hari baik bulan yang baik, si minah ini telah pergi berjumpa tok bomoh untuk menilik dan melihat nasib. Ingin mencari ubat yang mujarab agar dapat menguruskan badan dan memaniskan muka.

Maka pada ketika dan waktunya sampailah si minah ini ke kampung tok bomoh. Sayangnya tok bomoh ketika itu tidak berada di rumah.

Lama juga si Minah ini menunggu. Untuk merehatkan badan si Minah duduk di tepi tangga sambil mengira bulu kaki. Mengikut tuan empunya cerita, tok bomoh ini bukan sahaja pandai menilik nasib malah tok bomoh ini cukup handal dalam hal tangkap menangkap jin.

Mengikut ceritanya tok bomoh ini baru sahaja dijemput untuk menangkap jin yang telah melarikan seorang anak dara sunti di Besut.

Tunggu punya tunggu tok bomoh pun sampailah ke rumah. Salam diberi tangan dijabat. Memang betul Tok Bomoh ini bukan kecil anak.

Misainya berdenting dan rambutnya panjang kerinting. Apabila masuk sahaja ke anjung rumah, si Minah ternampak banyak ijazah-ijazah dan surat tauliah terpampang di dinding.

Betul-betul di dinding tengah kelihatan tersimpan dalam bingkai kaca gambar tok bomoh sedang menerima ijazah dari sebuah kolej antarabangsa dalam bidang ilmu perikanan.

Macam mana dari menangkap ikan boleh beralih untuk menjadi pakar menangkap jin, wallahi alam bissawab, hanya Chua Soi Lek sahaja yang mengetahui.

Tok Bomoh terus bertanyakan apakah niat yang hendak dipinta oleh si Minah Becok. Maka si Minah pun bercerita yang dia mahu menguruskan badan macam Celine Dion dan mencantikkan muka macam Paris Hilton.

Minah Becok juga mahu tahu apakah ada jantan lagi yang sanggup menjadi suaminya kerana dia telah tujuh kali menjanda. Mendengar nama-nama ini tok bomoh duduk termenung dan terus menggaru lutut.

Kemudian tok bomoh mengambil beberapa majalah Voque dan Elle dan terus mencari muka Paris Hilton dan Celine Dion. Bila bertemu gambar yang dicari si bomoh mengangguk kepala dan mulutnya mula berkumat kamit sampai buih muncul di bibirnya.

Telur ayam Jusco

Selesai menjampi, tok bomoh ini terus mengeluarkan tujuh balang plastik yang tertutup rapi dengan kain hitam. Menurut tok bomoh, dalam botol plastik ini adalah tujuh ekor jin kafir tetapi telah berjaya disunatkan. Jin-jin ini telah ditangkap di Besut, Terengganu.

Mengikut tok bomoh jin-jin ini telah cuba melarikan seorang anak dara sunti. Kerana telah bersunat maka jin ini akan menjadi hamba suruhan tok bomoh ini.

Mengikut tok bomoh permintaan Minah Becok ini boleh dimakbulkan dengan bantuan jin-jin ini tetapi ada syaratnya. Permintaan ini perlu ada pengeras.

Perlu dibawa seekor ayam betina, seekor ayam jantan berkaki hitam, dua buah kelapa kuning, tiga butir telur ayam dara, seketul bara arang batu dan sebiji garam gunung.

Tok bomoh juga memerlukan dua tiket AirAsia ke Chiang Mai atau Saigon dan bilik hotel selama tujuh hari di sana.

Bila mendengar ini maka Minah Becok tersenyum dan bersetuju. Si Minah meminta tujuh hari untuk menyediakan semua yang dipinta.

Maka orang-orang kampung pun membuat pantun dan seloka:

Minah Becok nak kuruskan badan
Celine Dion jadi ikutan
Dari janda nak jadi dara
Sanggup membuat apa saja
Minum garam makan bara

Si Minah dengan segera telah menyediakan semua permintaan Tok Bomoh. Dua tiket ke Saigon dan bilik hotel telah ditempah. Ayam, garam, buah kelapa dan bara arang batu semua telah didapati.

Genap tujuh hari maka pergilah sekali lagi Minah Becok berjumpa dengan tok bomoh. Tok bomoh menerkam dan terus membelek belek tiket AirAsia. Tok bomoh tersenyum puas.

Kemudian tok bomoh mengumpulkan semua barang pengeras dan mula membaca jampi dan serapah. Selang beberapa minit tetiba tok bomoh berhenti.

Tok Bomoh marah dan terus berkata: "Ini bukan telur ayam dara? Ini telur hang beli di Jusco."

Minah Becok mengigil takut. Dia terketar-ketar dan terus berkata:

"Di kampung saya, tak ada lagi ayam dara. Yang ada hanya ayam janda."

(Bersambung)


**Hishamuddin Rais

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Post




0 comments:

 
© Copyright 2009 Fajridil  |  Template by Asral Enterprise