Nilai Bani Melayu
fajridil.blogspot.com - Mengikut Perlembagaan Persekutuan, takrifan Melayu adalah: sosok yang mengamal budaya, bahasa Melayu dan beragama Islam. Takrifan ini cukup senang, demokratik dan tanpa banyak songel. Untuk saya, di belakang takrifan – siapa dia Melayu – ada persoalan yang lebih besar – persoalan nilai Melayu. Takrifan nilai ini sayangnya TIDAK dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai cara untuk mengenal siapa Melayu dan siapa bukan Melayu.
Takrifan siapa Melayu dalam Perlembagaan dilakukan hanya untuk mentadbir. Pentadbiran penjajah British yang membawa buruh imigran dari Cina dan India memerlukan sistem identifikasi. Justeru, lahir konstruksi takrifan Melayu yang membolehkan sosok seperti Mahathir Mohamad, Reezal Merican atau Azeez Rahim menerobos masuk dan mengakui Melayu. Walhal – rupa bentuk, kulit dan iras sosok tidak mencerminkan keMelayuannya. Persoalannya apakah nilai yang diamal oleh sosok ini mencerminkan nilai Melayu?
Saya menimbulkan apa dan siapa itu Melayu kerana pada tahap ini Bani Melayu menghadapi krisis yang maha besar. Bani Melayu hari ini menghadapi krisis identiti diri. Krisis identiti ini membawa Bani Melayu kepada krisis nilai. Justeru krisis nilai Bani Melayu inilah yang sedang kita lihat dalam politik kontemporari Malaysia hari ini.
Nilai muncul dari punca ekonomi. Nilai tidak muncul dari mimpi atau angan-angan. Satu ketika dahulu Bani Melayu keseluruhannya kaum tani, nelayan atau pekebun kecil. Kedatangan British memunculkan sosok Melayu untuk menjadi pegawai kerajaan, anggota polis, askar dan guru. Ramai Bani Melayu sebelum kedatangan British menjadi pelaut yang hebat. Dalam sejarah dan cerita rakyat ada tertulis juragan dan saudagar Melayu yang berniaga di kepulauan Melayu. Si Tenggang adalah contoh juragan dan saudagar dari Bani Melayu.
Tetapi dengan kesampaian juragan dan saudagar dari India dan Cina yang memiliki jaringan perniagaan lebih luas, membuka persaingan. Akhirnya kerana persaingan sengit kumpulan juragan dan saudagar Bani Melayu pupus. 100 tahun dahulu Bani Melayu tidak kenal duit dan dinar. Ini berbeza dengan kaum imigran India dan Cina yang tamadunnya ribuan tahun mendahului tamadun Melayu.
Justeru, nilai Bani Melayu adalah nilai kaum tani. Nilai Bani Melayu adalah nilai masyarakat pertanian-agraria. Nilai kaum tani dipasak oleh setiakawan yang intim, kejujuran kata-kata, janji yang ditepati dan paling ampuh adalah nilai bergotong royong. Nilai ini tidak pernah diukur dengan dolar dan dinar.
Dunia berubah. Pembuatan dan pekerjaan untuk mata pencarian berubah. Asas ekonomi berubah. Bentuk ekonomi berubah. Semua ini membawa perubahan nilai. Dari asas ekonomi pertanian dan nelayan, Bani Melayu dipaksa ekonomi kapitalis yang berNabikan jual beli dan berkiblat keuntungan. Awalnya resapan ekonomi kapitalis agak lunak. Sistem ekonomi kapitalis masuk secara teratur dan tidak mengganggu gugat ketenteraman Bani Melayu. Walaupun sistem ekonomi kapitalis membawa budaya yang berlawanan dengan budaya agraria Bani Melayu – mereka tidak berasa terancam.
Nilai kapitalis diukur dengan ringgit dan dinar. Tenaga kini bukan lagi diminta bergotong royong untuk bersama-sama membuat tali air sawah atau membaiki pembetung. Tenaga dalam sistem ekonomi kapitalis boleh dihitung untuk dipukul harga. Awalnya bani Melayu tidak menyedari ini. Perubahan ekonomi membawa perubahan politik. Kuasa politik yang dimiliki oleh United Malays National Organisation mula disedari sebagai lompong. Kuasa politik tanpa kuasa ekonomi hanyalah mimpi yang dimimpi-mimpikan.
Mimpi ini pecah membawa kesedaran apabila ia diasak oleh kekalahan parti Bani Melayu yang berslogan Ketuanan Melayu pada 1969. Kekalahan besar United Malays National Organisation memunculkan satu dasar ekonomi yang baru.
Dasar Ekonomi Baru (DEB) memaksa Bani Melayu masuk ke dalam kancah jual beli ekonomi kapitalis. Selama 40 tahun kebelakangan ini, Bani Melayu dipaksa menerima sistem nilai budaya yang dilahirkan oleh sistem ekonomi kapitalis. Justeru krisis politik yang kita lihat hari ini adalah manifestasi dari nilai-nilai tadi.
Pergolakan politik yang berlaku lebih dari sedekad adalah manifestasi berkecamuknya nilai Bani Melayu. Kalau dulu, kata-kata dari mulut Bani Melayu adalah janji yang terikat. Hari ini kata-kata tidak boleh lagi diterima tanpa tandatangan dan surat akuan peguam. ‘Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’ – tidak lagi menjadi asas kemasyarakatan Bani Melayu.
Setiakawan dan semangat kekitaan dinilai dengan keanggotaan kelab ini atau parti itu. Budi dan bahasa hanya ucapan kosong kalau ia tiada ringgit dan dolar. Dalam masa satu generasi, Bani Melayu dipaksa untuk menerima nilai yang amat asing. Banyak jalur nilai ini tidak berakar umbi dalam pembudayaan salasilah agraria Bani Melayu.
Perkembangan siasah terkini membuktikan dengan jelas. Tesis bahawa Bani Melayu sedang dilanggar krisis identiti. Krisis identiti ialah krisis nilai. Nilai yang saya jadikan contoh kajian ialah – bagaimana satu kumpulan Bani Melayu sanggup menerima dan menobatkan Najib Razak sebagai pemimpin mereka.
Pada satu ketika dahulu, jika ada Raja Melayu yang zalim seperti Raja Bersiong atau seperti Sultan Mahmud, maka tidak dapat tidak, walaupun dalam budaya feudal – raja yang zalim ini akan dinyah. Raja zalim akan dihalau atau dibunuh. Ini nilai budaya Melayu – tanpa peguam atau akuan bersumpah.
Saya perhatikan krisis nilai menjadi lebih tenat. Dalam masyrakat agraria, salah dan benar adalah salah dan benar. Tidak berdolak-dalik. Tidak perlu peguam atau surat aku janji. Tetapi nilai yang sistem ekonomi kapitalis yang dipaksa ke atas Bani Melayu menjadikan sosok Melayu hilang punca. Bani Melayu yang berslogan Ketuanan Melayu tidak dapat lagi memisahkan mana yang salah dan mana yang benar.
Untuk memahami krisis nilai, kita lihat dengan lebih dekat. Kes contoh – pembunuhan Altantuya. Dalam kes ini Razak Baginda dituduh bersama dua anggota PDRM. Razak Baginda terlepas dari hukuman gantung manakala dua anggota polis didapati bersalah. Tidak cukup dengan ini, Peguam Negara tidak pula membuat rayuan agar Razak Baginda dibicarakan sekali lagi.
Kes pembunuhan Altantuya membuktikan tesis bahawa ada satu kelompok besar bani Melayu yang tidak lagi memiliki nilai salah dan benar. Bani Melayu yang berNabikan jual beli dan berkiblat keuntungan tidak lagi memiliki keupayaan untuk menilai mana yang salah dan mana yang benar. Mereka hanya memiliki keupayaan untuk menimbang nilai untung dan rugi.
Justeru, krisis nilai ditenatkan lagi dengan ajaran agama. Islam mengajar Bani Melayu yang mualaf untuk menjadi manusia yang jujur. Untuk menjadi umat yang berani berkata benar dan bangun menentang kemungkaran dan kebatilan. Semua prinsip ajaran agama ini hancur berderai apabila kita jadikan kes pembunuhan Altantuya sebagai bahan rujukan.
Dua minggu ini, Bani Melayu mendengar temu bual dan pengakuan Deepak Jaikishan. Saudagar permaidani ini pernah mengakui Rosmah Mansor sebagai kakak angkatnya. Saudagar ini juga memiliki hubungan yang intim dengan suami Rosmah. Dari temu bual saudagar ini jelas menunjukkan bukan sahaja Najib Razak yang terlibat dalam kes Altantuya, malah Rosmah Mansur juga terlibat sama.
Awas! Bukan setakat laki bini sahaja yang terlibat – adik Najib Razak juga terlibat sama.
Pada satu ketika dahulu, ada Bani Melayu hingar bingar melauang-laung Ketuanan Melayu. Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan Islam kini mereka senyap tidak berkata apa-apa. Tidak ada mufti, tidak ada imam, tidak ada Tok Kadi, tidak ada ustaz atau ustazah yang berani bertanya: Betulkah apa yang dikatakan oleh Deepak ini?
Tiada seorang pemimpin kerajaan, tidak ada Menteri Besar Bani Melayu, tidak ada Menteri Bani Melayu, malah tidak ada Raja Melayu yang dikatakan sebagai kepala agama Islam yang cuba berani bertanya – Apakah ‘tuduhan dan pengakuan’ Deepak benar atau salah? Untuk saya apabila Bani Melayu ini senyap, maka ini membuktikan tesis saya bahawa mereka sedang sakit tenat dan menghadapi penyakit ketidaktentuan arah nilai.
Untuk saya – semuanya jelas – Bani Melayu kehilangan nilai – salah dan benar. Bani Melayu tidak dapat lagi mengenal hitam dan putih – yang satu ketika dahulu dimiliki datuk nenek moyang mereka. Tesis nilai ini akan saya sambung minggu hadapan.
**Hishamuddin Rais
0 comments:
Post a Comment