Wednesday, December 12, 2012

Bagaimana Penipuan Diuruskan?

foto Bagaimana Penipuan Diuruskan?

Bagaimana Penipuan Diuruskan?

fajridil.blogspot.com - (Selangor mendakwa berjaya mengesan 28 peratus pemilih berdaftar baru yang tidak dapat dikenal pasti di negeri itu daripada Daftar Pemilih Induk suku keempat 2011 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya. Jumlah itu adalah seramai 134,675 daripada 497,804 pemilih berdaftar baru dengan bilangan pemilih berdaftar tidak dapat dikenal pasti paling ramai dicatatkan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Serdang) – MALAYSIAKINI 23/November 2012.

(Peningkatan daftar pemilih baru mendadak di Selangor adalah perkara biasa memandangkan negeri terkaya di Malaysia tersebut menarik ramai orang yang mencari pekerjaan dan kehidupan lebih baik, kata pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof. Abdul Aziz juga memuji status negeri Selangor dan mengganggapnya sebagai paling popular dikalangan rakyat Malaysia, serta menambah ramai pengundi tertarik dengan peluang pekerjaan dan tinggal disitu.

“Seluruh Malaysia, daripada 2008 hingga 2012 terdapat tiga juta pengundi baru telah didaftarkan.) – MALAYSIANINSIDER 25 November 2012.

Ramai pembaca bertanya kenapa tulisan saya agak pesimis. Saya dilihat membawa ayat-ayat songsang apabila membuka surah tentang PRU 13. Saya menghitamputihkan kegagalan Pakatan Rakyat dalam perjalanan ke Putrajaya. Malah saya juga menulis kerjaaan Pakatan di Selangor akan jatuh.

Biar saya terangkan bahawa ayat-ayat songsang dalam surah saya bukan datangnya dari mimpi dan angan-angan. Surah yang saya bawa bukan dibuat-buat dan direka-reka dengan niat untuk menidakkan keupayaan Pakatan untuk mengambil alih pentabiran negara.

Berkali-kali saya nyatakan bahawa sokongan rakyat cukup ampoh untuk membawa Pakatan ke Putrajaya. Peningkatan sokongan tidak padam-padam – membara dan merebak. Malah lebih lewat PRU 13 dijalankan lebih molek untuk Pakatan kerana sentimen dan kebencian orang ramai terhadap United Malays National Organisation semakin bertambah. Ini hakikat. Ini realpolitik yang sedang berlaku di hadapan mata kita.

foto Bagaimana Penipuan Diuruskan?
Saya berhujah dengan menggunakan data dan maklumat kajian Dr Ong Kian Meng dari MERAP (Malaysian Electoral Roll Analysis Project) – badan yang mengkaji dan meneliti senarai nama pemilih. Saya juga meneliti laporan dari SPR sendiri. Saya juga mengumpul maklumat dari kenyataan ahli Parlimen dan pemimpin Pakatan. Saya juga membuka mata dan telinga untuk mendengar kenyataan menteri.

Justeru, jangan lupa kenyataan YB Mahfuz Omar tentang ‘special force’ yang ditubuhkan untuk memberi kad pengenalan kepada warga Indonesia, Bangladesh dan Myamar. Malah mengikut kenyataan Mahfuz, dia tahu di pejabat mana operasi sulit lagi jahat, berjalan dan tahu nama Datuk dan Tan Sri yang mengepalainya.

Pembaca jangan lupa dengan kenyatan Timbalan Presiden PAS yang menerangkan bahawa projek menambah pengundi yang sedang dijalankan di Selangor berasaskan kejayaan United Malays National Organisation merampas kembali Terengganu. Malah Tuan Haji Mat Sabu secara terbuka menerangkan ‘projek tawan Selangor’ dikepalai Idris Jusuh, bekas MB Terangganu.

Pembaca jangan sesekali lupa kenyatan ‘tergempar’ Najib Razak pada 29 Januari lalu. Di hadapan belia yang dikumpul, dikepong dan diupah datang – Najib berkata “Putrajaya akan dipertahankan sampai ke titisan darah terakhir…” Ini ucapan Najib awal tahun ini. Semenjak itu semua gerak kerja Najib dan konco-konconya ialah merancang untuk memastikan terus berkuasa. Untuk saya, semua ini bukti perancangan jahat sedang diatur untuk menggagalkan Pakatan ke Putrajaya.

Jika pembaca masih lagi was-was dan kurang yakin, maka mari baca dan fahami maklumat terbaru dari kerajaan Pakatan Selangor. Awal tahun ini, kerajaan Selangor mengeluarkan dana untuk meneliti senarai nama pengundi. Pegawai dan pertugas pergi menyiasat dari pintu ke pintu. Tujuan untuk melihat siapakah hamba Allah yang namanya ada tertulis dalam Daftar Pemilih Induk Suku Keempat Tahun 2011 yang dikeluarkan SPR.
Ini adalah kajian yang paling rapi lagi menyeluruh keatas nama senarai pengundi di Selangor. Hasilnya ditemui 134,675 nama pengundi baru yang TIDAK dikenal pasti. Angka ini 28 peratus dari 497,804 pemilih baru yang mendaftar. Justeru, kerana fakta ini saya yakin – hantu akan mengalahkan Pakatan di Selangor.

Awas! Jangan terperanjat. Penambahan hantu yang paling ketara ialah di DUN Serdang. Jangan senyum kerana ini ialah kawasan Datuk Satim Diman – Ketua Pembangkang Selangor. Pak Satim ini menempah baju Melayu baru kerana bagitu yakin dengan 9,000 ekor hantu di Serdang dan puluh ribu di kawasan lain Pak Satim akan naik takhta sebagai MB Selangor yang baru.

foto Bagaimana Penipuan Diuruskan?
Hantu-hantu muncul dari pelbagai bentuk kubur. Di Subang Jaya, lebih 8,000 hantu sedang disediakan untuk Hannah Yeoh – DAP, di Hulu Kelang lebih 5,000 hantu untuk Saari Sungib – PAS, lebih 4,000 hantu muncul di Bukit Lanjan untuk mengancam Elizabeth Wong – PKR, di Kinrara (Teresa Kok – DAP), Kota Anggerik (Yaakob Sapari), Kota Damansara (Nasir Hashim – PSM), Sri Muda (Shuhaimi Shafiei) dan Taman Medan (Haniza Talha) – beribu-ribu hantu diberi kad pengenalan biru untuk mengundi.

Projek ini, mengikut Tuan Haji Mat Sabu dipanggil Projek Terangganu – kerana taktik itu dipakai dengan jayanya untuk mengalahkan kerajaan PAS Terangganu pada 2004. Laporan kajian senarai nama pengundi ini disampaikan olehMB Selangor secara rasmi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor yang sedang bersidang. Pengerusi SPR dengan cepat menjawab. Pengerusi SPR yang juga ahli United Malays National Organisation berselindung di belakang undang-undang dan peraturan.

Mengikut Pengerusi SPR, semua hantu-hantu boleh mengundi walaupun polong dan hantu ini tidak diketahui hujung pangkalnya. Hantu-hantu ini disahkan kerana mengikut peraturan SPR: Jika nama hantu ini ada dalam senarai pengundi, maka hantu ini boleh mengundi.

Nah! Inilah bukti sahih yang saya kata berpuluh-puluh kali. Saya mengatakan bahawa yang dilawan oleh Pakatan bukan Barisan Nasional tetapi satu sistem dan peraturan yang diwujudkan khusus untuk memastikan United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya akan terus berkuasa. Memang betul mengikut undang-undang 134,675 ekor hantu ini boleh mengundi. Undang-undang dan peraturan seperti inilah yang diwujudkan oleh SPR untuk memastikan Pakatan gagal mengambil alih pertabiran.

Sayugia diingatkan bahawa ada berpuluh-puluh undang-undang kecil dan peraturan yang direka untuk memastikan Pakatan akan gagal ke Putrajaya. Jumlah 134,675 ekor hantu ini hanya ditemui di Selangor. Bagaimana di Perak, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan? Berapa ratus ribu lagi hantu, pelesit dan jembalang yang sedang disusun untuk masuk mengundi.

Najib Razak juga mencelah untuk menepis laporan rasmi kerajaan Selangor. Mengikut kata Najib – di Amerika – negara maju – senarai pengundinya pun tidak bersih. Apabila terbaca jawapan Najib, saya tidak tahu sama ada nak terkentut atau nak terberak. Kalau rakyat Amerika bangang dan senang ditipu, tidak semestinya orang ramai di Malaysia sedia jadi bangang untuk ditipu oleh SPR. Kalau Najib bangang tidak semestinya Satu Malaysia mesti bangang sama.

Ingin saya memberitahu bahawa pilihan raya di Malaysia tidak ada sangkut paut dengan demokrasi. Pembuangan undi lima tahun sekali bukan bermakna sistem pilihan raya itu adil dan bersih. Peraturan dan undang-undang kecil sengaja diwujudkan bukan untuk demokrasi tetapi untuk menyusah orang ramai dari membuat pilihan yang tepat.

Pilihan raya Malaysia bukan tentang hak asasi atau hak memilih pembuat undang-undang yang terbaik untuk dihantar ke Parlimen. Di Malaysia pilihan raya ialah sandiwara untuk mengabui mata orang ramai. Hukum dan undang-undang dilulus di Parlimen menghalalkan United Malays National Organisation dan kuncu-kuncu-nya untuk merembat harta kekayaan.

Rompakan siang hari tanpa dakwa dakwi berjalan berlandaskan undang-undang yang mereka luluskan. Undang-undang SPR hanya satu contoh.Sebuah NGO – Tindak Malaysia – memberi latihan PACHABA – pemerhati dan pengira undi. Tindak memerlukan 300,000 sukarelawan di hari pengundian. Jom Pantau sebuah lagi NGO memerlukan 50,000 sukarelawan untuk memantau di hari mengundi. Ini belum dikira lagi beratus ahli Pakatan yang akan mengawal bakal calon dari dibeli atau diculik oleh gerombolan upahan United Malays National Organisation.

foto Bagaimana Penipuan Diuruskan?
Semua ini dilakukan untuk memastikan kita tidak ditipu. Semua ini belanja pendemokrasian yang tinggi. Justeru, saya ada cadangan pendemokrasian yang lebih murah. Kita ke jalan raya sebelum ke pilihan raya. Memorandum telah disampaikan, laporan polis telah dibuat, cadangan telah diajukan. Semuanya gagal. Tuntutan Bersih tidak dipedulikan. Tanah rakyat terus dirampas. Alam sekitar terus dirobek. Balak terus dirompak.

Masanya telah sampai untuk ke jalan raya. Anak semua bangsa menuntut pilihan raya adil dan bersih. Anak semua bangsa sebaris menentang rampasan tanah. Anak semua bangsa menuntut Lynas ditutup. Himpunan Kebangkatan Sejuta Rakyat 12 Januari adalah perjuangan pendemokrasian untuk membuka luas ruang demokrasi.

Kita bertemu di jalan raya sekali lagi.


**Hishamuddin Rais

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Post




0 comments:

 
© Copyright 2009 Fajridil  |  Template by Asral Enterprise