Sidang Lembu Mengidam Kentaki
fajridil.blogspot.com - Mengikut kata sahibul hikayat maka hari persidangan agung BBPPK - Betina-betina Pemakan dan Peminat Kentaki pun sampailah. Persidangan setahun sekali bertujuan agar ahli-ahli pergerakan ini dapat menilai dan merancang gerakan mereka.
Persidangan setahun sekali ini amatlah hebat. Persidangan ini mendapat liputan media antarabangsa. Dari Si Ant Ant hingga ke Bi Bi Si, dari Senaling hingga ke Sungai Besi ada liputan terus menerus.
Orang-orang betina itu akan berkumpul-kumpul sehari lebih awal. Mereka datang berduyun-duyun. Beratus ratus mereka datang. Dari jauh, dari semua pelosok negeri mereka datang.
Berpuluh bas yang mereka tumpang. Mereka datang berbondong-bondong. Ada betina yang dara, ada betina yang janda. Ada yang sida, ada yang sasa.
Betina yang berduit menayangkan gelang. Betina yang kaya memperagakan subang. Betina yang lebih kaya memakai intan permata. Betina yang papa memakai selipar. Yang slim dan cun ke hulu ke hilir menunjukkan muka.
Yang subur dan montok berjalan mengesot-engsot. Yang obes gedempol mengheret badan menyorok di belakang tiang.
Di dalam dewan yang disebutkan itu kelihatan dua warna - merah dan putih. Inilah warna asal tanda setiakawan perjuangan betina-betina ini.
Mereka bertudung merah, berbaju putih dan berkain sarung merah. Pakaian dalam tidak pula diketahui sama ada mereka bercoli atau berseluar dalam atau tidak.
Setelah semuanya siap duduk di dalam dewan maka acara pun bermulalah. Pertama naik ke pentas seorang betina gempal montok lagi tegap bergincu merah.
Mukanya tembam putih melepak, lalu menampakkan jelas lintangan misai di atas bibirnya. Si minah bermisai halus ini pun berucaplah. Mukadimahnya panjang berjela.
Dari Tuhan ke alam semesta, kepada Raja seisi istana, semua menerima bodek dari si minah ini. Maka betina-betina ini bertepuklah tangan tanda menyokong apa saja yang bunyinya bodek dan ampu.
Pengucap kedua pun berengsot-engsot naik ke atas pentas. Minah ini pun montel lagi gedebab. Adalah diumumkan oleh juru heboh bahawa minah ini bukan 'kecil anak'.
Minah ini diangkat sebagai penyampai ucapan kedua kerana selama tiga tahun berturut-turut. Minah ini telah mendapat anugerah Ratu Kentaki seluruh Alam Melayu.
Biodata minah ini dengan bangganya menghebohkan bahawa minah ini adalah pemegang rekod menyental 27 ketul peha ayam goreng dalam masa 37 saat. Hingga ke hari ini tidak ada sesiapa yang boleh menandingi pencapaian hebat si minah ini.
Maka Ratu Kentaki ini pun berucaplah dengan mukadimah dan ucapan kesyukuran yang lebih panjang berjela dari pemidato pertama.
Ratu Kentaki ini bersyukur kepada dirinya yang masih lagi memiliki selera buaya dalam hal makan dan minum. Maka gegak gempita seluruh dewan. Maka meleleh air liur masing-masing apabila mendengar tentang Kentaki.
Kemudian si minah ini mula membebel panjang. Dia berkisah tentang cabaran masa depan terhadap pergerakan betina mereka. Ratu Kentaki ini mengingatkan para betina di dalam dewan, anggota dan ahli agar berwaspada kerana musuh sedang menyerang.
Jika serangan musuh berjaya membawa kemenangan maka hilanglah hak keistimewaan mereka.
"Kita akan hilang hak keistimewaan untuk membeli Kentaki tanpa perlu beratur. Kita akan hilang keistimewaan untuk mendapat drumstick. Kita tak mahu kepak, kita tak mahu bontot. Hak istimewa kita ialah paha. Dewan menyambut dengan tepukan gemuruh."
Selesai Ratu Kentaki berucap maka sampailah lah masa yang ditunggu-tunggu. Maka semua betina-betina di dalam dewan bangun berdiri. Adalah amat sedih kelihatan di muka para betina yang gemuk dan obes kerana terpaksa bangun berdiri menyambut kedatangan Ratu Puan yang dipertuankan ketua agung Pergerakan Pemakan dan Peminat Kentuki.
Gedang dipalu dan kompang dipukul. Bersorak sorai tanda gembira. Tamu yang diamatmuliakan akan menunjukkan muka. Tirai tebal pun terbuka. Semua muka mengalih pandang ke atas pentas. Ratu Puan yang dipertuankan menampakkan muka.
Berkain merah berbaju putih. Ratu Puan memakai kain tudung merah jambu dari kian kasa yang jarang untuk menampakkan rambut palsunya yang membusut jantan. Ratu Puan ke tengah pentas dan memandang ke dalam dewan. Sorak sorai gegak gempita kedengaran.
Tanpa menunggu jemputan dari juru heboh, Ratu Puan terus ke podium untuk berucap. Tanpa taklimat, tanpa basa basi dia terus berucap dengan garang dan bengis. Ratu Puan menyinga marah.
Dia menibai ke kiri. Dia menibai ke kanan. Dengan bengis dia menerangkan bahawa tuduhan yang mengatakan bahawa dia telah mengadakan hubungan sulit dengan seekor lembu jantan dalam sebuah kondo di ibu kota adalah fitnah semata-mata.
Ratu Puan juga menuduh ada tangan tangan dalang yang merancang semua ini. Ada yang cemburu kerana kejayaan gerakan Kentaki ini. Ratu Puan bukan sahaja dituduh bersekedudukan, malah hubungan sulit dengan lembu ini telah melintasi Selat Teberau untuk masuk ke Singapura.
"Kita tahu siapa di belakang mereka. Kita tahu dari mana mereka mendapat maklumat lembu ini. Ini semua ialah angkara dari pemimpin yang mahu menjatuhkan kita dan lembu-lembu kita.'
Tempikan mula kedengaran di sana sini. Dewan kelihatan huru hara. Bingar dan riuh rendah dengan maki hamun.
Tiba-tiba seorang betina obes bangun berdiri dan dia menjerit kuat, "Aku nak makan Kentaki. Mana Kentaki? Janji naik bas datang sini akan diberi makan Kentaki."
Dewan senyap sunyi.
Tiba-tiba seorang lagi betina yang obes bangun.
Dia juga bersuara: "Betul, betul, mana dia janji? Kata nak bawa kita tengok Sugo. Kata nak beri duit poket. Kami dari Kedah dah bosan. Janji, janji, janji! Pasal apa cerita hal lembu di sini. Kami nak dengar cerita Kentaki, bukan cerita lembu."
Ratu Puan memandang ke bawah. Dia menyinga marah dan terus menyingsing lengan baju.
"Puan-puan, tidakkah puan-puan sedar bahawa kapal Kentaki kita akan tenggelam tidak lama lagi. Gerakan Kentaki kita sedang serang musuh. Musuh kita dari luar dan dari dalam. Dalam coli kita pun telah ada musuh."
Ucapan itu menaikkan kembali semangat betina-betina di dalam dewan. Kemarahan mereka tidak dapat Kentaki kini telah beralih. Betina betina ini bangun dan menghentak-hentak kaki. Derapan hentakan kaki mereka kedengaran hingga 1 kilometer.
"Mana dia budak itu? Siapa dia? Bawa dia ke sini. Bagi dia tengok ini. Dia belum tengok. Dia belum tahu. Ini baru singsing lengan. Nanti bila kita selak kain baru dia nampak hutan. Baru dia terperanjat jadi batu. Hutan ini bukan hutan biasa."
Bila Ratu Puan menyingsing lengan ramai betina-betina meluru naik ke atas pentas. Mereka mengelilingi Ratu Puan yang sedang naik minyak. Betina betina ini bersorak-sorak.
"Yeah, yeah, yeah! Kita selak kain. Kita ada hutan."
Betina-betina bersuara bersama-sama. Mereka berulang-ulang melagukan ayat ini. Kemudian mereka beramai-ramai menari-nari di keliling Ratu Puan.
Ratu Puan menyambung ucapan dengan memberi ingatan terutama kepada pemimpin yang mahu menjatuhkannya agar jaga menjadi tali barut musuh. Ratu Puan juga mengingatkan bahawa dia juga tahu semua rahsia orang-orang yang cuba menjatuhkan dia.
"Betina sekalian, sesudah persidangan kita ini maka kita semua akan kembali ke tempat masing-masing untuk meneruskan perjuangan kita. Tugas kita yang terdekat ini ialah memberitahu rakyat bahawa gerakan kita ini adakah satu gerakan suci. Saya yang baru sahaja balik dari menjadi tetamu Allah di Mekah. Saya telah bertafakur minta tanda dari Yang Maha Esa. Saya tahu bahawa Allah tahu bahawa saya tidak ada hubungan apa apa dengan lembu itu.
"Saya tidak pernah memiliki hubungan sulit dengan lembu-lembu jantan itu. Semua ini adalah fitnah yang tidak berasas. Nama keluarga saya sengaja diburuk-burukkan. Nama anak anak saya sengaja dibabitkan. Sekali lagi saya nyatakan di hadapan betina-betina sekalian ada mustahil saya ada hubungan sulit dengan lembu-lembu itu.
"Apakah saya tahu hubungan sulit lembu itu dengan suami saya? Sila pergi tanya suami saya. Jangan tanya saya. Kalau suami saya suka kepada lembu jangan saya disalahkan."
Dewan senyap seketika. Tiba-tiba seorang lagi betina obes bangun dan bersuara:
"Bila nak beri makan Kentaki. I bosan la dengan cerita lembu ini. Di zaman Datuk Seri Paduka dahulu tak ada kes lembu ini. Kalau dia jadi ketua kita lagi baik, bukan sahaja kita dapat Kentaki, kita semua dapat AP."
Betina-betina bersorak bangun. Mereka menghentak hentak kaki. Dan bersorak-sorak sorak.
"Kami tak mahu lembu, kami mahu AP."
**Hishamuddin Rais
0 comments:
Post a Comment