Kisah Neocon, Iran dan Bom
fajridil.blogspot.com - Israel's defence minister, Ehud Barak, has said the moment is approaching when any military intervention to halt Iran's nuclear programme will come too late, in a strong indication that the Jewish state is closer than ever to authorising action.
– The Guardian, London, 3 Februari 2012
Ehud Barak menteri perang Israel kini sedang mengolah pandangan dunia untuk melancarkan perang terhadap Iran. Perancangan untuk menyerang Iran ini bukan satu yang baru.
Pada tahun 1997 di Amerika Syarikat, satu gerombolan puak kanan yang dikenali sebagai NeoCon telah mengeluarkan kenyataan prinsip yang dikenali sebagai Project For The New American Century atau Projek Amerika Alaf Baru.
Gerombolan NeoCon ini telah mencadangkan:
- Amerika wajib menambah belanjawan pertahanan, memodenkan alat persenjataan untuk mengawal dunia di masa hadapan.
- Amerika wajib memperkukuh hubungan dengan negara rakan yang mengamal demokrasi dan menentang rejim seteru yang berlawanan dengan kepentingan dan nilai Amerika.
- Amerika wajib mengembang dan memperluaskan kebebasan politik dan ekonomi perdagangan bebas di luar negara.
- Amerika wajib menerima tanggungjawab yang unik untuk memastikan dunia antarabangsa selari dengan kepentingan keselamatan, kekayaan dan prinsip Amerika.
Perserikatan Zionis
Sosok-sosok berfahaman kanan ini bernaung di bawah lambang NeoCon. Neo bermakna baru, manakala Con adalah singkatan dari perkataan conservative. NeoCon bermakna fahaman Konservatif Baru. Dari segi ideologi, NeoCon ini berhaluan kanan. Mereka menyokong dasar ekonomi kapitalis – pasaran bebas, penswastaan dan menolak negara berkebajikan. Mereka tidak mahu daulah campurtangan dalam urusan ekonomi. Gerombolan NeoCon ini melihat kuasa imperialis Amerika sebagai sebagai kuasa mutlak dunia sesudah Union of Soviet Socialist Republic (USSR) runtuh.
Adalah salah untuk melonggokkan semua benggolan NeoCon ini sebagai Yahudi. Mereka terdiri dari White Anglo Saxon Protestant (WASP ). Ada ramai Yahudi. Malah Zalmay Khalilzad wakil Bush Junior ke Afghanistan adalah contoh NeoCon yang beragama Islam. Agama tidak penting di sini. Justeru bukan semua NeoCon beragama Yahudi tetapi semua NeoCon adalah Zionis. NeoCon adalah perserikatan intim antara Yahudi Zionis dan Kristian Zionis. Nabi mereka ialah Irving Kristol – seorang pemikir Yahudi dan intelektual kanan. Rukun iman NeoCon ialah memastikan kesejahteraan Isreal.
Secara sedar NeoCon telah merancang dan menyusun. Mereka menubuhkan kumpulan pemikir, kumpulan pelobi, bersarang di media dan di dunia akademia. Mereka mula berjaya menyusup masuk ke dalam pentabiran Rumah Putih di zaman Ronald Reagan. Gerombolan ini telah mengajukan pandangan mereka untuk dijadikan dasar Amerika. Justeru dunia diberitahu tentang Clash of Civilisation atau Bentrokan Peradaban ( 1993) karya Samuel Huntington dan The End Of History atau Tamatnya Sejarah (1992) oleh Francis Fukuyama. Dua buku ini adalah contoh ideologi kanan yang menjadi rujukan NeoCon.
Presiden Ronald Reagan telah di gantikan pula oleh Bush Senior. Ini adalah zaman kegemilangan gerombolan NeoCon. Parti Republican yang berhaluan kanan dan konservatif telah sedia menerima pandangan dan cadangan dari NeoCon untuk dijadikan dasar. Apabila Bush Senior digantikan oleh Bill Clinton dari Parti Demokrat, gerombolan NeoCon mengalami sedikit kemunduran. Tetapi apabila masuk Bush Junior ke Rumah Putih, maka inilah masa dan ketika di mana semua dasar dan Projek Alaf Amerika Baru diimplementasi.
Memasuki tahun 2008, Rumah Putih telah diduduki oleh Barack Obama dari Parti Demokrat. Seharusnya Parti Demokrat ini memiliki dasar yang berlawanan dengan dasar kanan NeoCon. Tetapi politik Amerika telah beralih jauh ke kanan. Hari ini garis dan dasar yang membezakan Parti Republikan dengan Parti Demokrat amat tipis. Malah ada beberapa dasar Parti Republikan kelihatan lebih baik dari Demokrat. Contohnya, Bush Junior secara terbuka melarang Israel mendirikan perkampungan baru di tanah dan wilayah Palestin yang telah dirampas. Barack Obama hingga ke saat ini langsung tidak berani bersuara terhadap keganasan Israel.
Jangan silap baca. Barack Obama dinaikan ke tahta Rumah Putih adalah sebahagian dari perancangan untuk mengabui mata rakyat dunia. Dia tidak akan dituduh rasis apabila membenarkan kapal terbang mengebom Libya atau Syria dan membenarkan Drones membunuh Anwar al-Awlaki, warga Amerika sendiri di Yaman.
Tata Dunia Baru
Belum pun habis satu penggal, Obama juga telah mengarahkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) untuk menggunakan Drones dan meledakan bom di Utara Pakistan. Lebih banyak bom jatuh di Utara Pakistan di zaman Obama berbanding dengan dua penggal Bush Junior di Rumah Putih.
Mengikut falsafah NeoCon, wajib diwujudkan satu kumpulan kelas elit pemerintah yang bijak bestari untuk mengendalikan sesebuah negara. Manakala orang ramai dan warga negara hanyalah menjadi pengikut. Orang ramai hanya wajib menerima arahan dari pemimpin yang bijak pandai ini.
Jika falsafah ini diterjemahkan untuk dunia, maka kelas elit yang berkeupayaan berfikir untuk memimpin dunia hanyalah NeoCon yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Negara-negara lain dalam dunia ini hanya perlu mengikut perintah. Jika falsafah ini diikuti, maka dunia mengikut pandangan NeoCon akan aman makmur. Inilah yang mereka namakan New World Order atau Tata Dunia Baru yang sedang dirancang untuk diwujudkan.
Tetapi apa sangkut pautnya semua ini dengan Iran?
Di zaman Shah Ahmad Reza Pahlevi dahulu Iran dianggap sebagai negara sahabat Amerika. Shah Reza menjadi pembeli senjata Amerika yang kedua terpenting sesudah Arab Saudi. Iran sanggup menjadi 'tok sarjan' yang setia untuk mengawal Selat Hormuz menjaga keselamatan lalulintas kapal tangki minyak di perairan ini. Hampir 40 peratus minyak dunia melintasi selat ini. Hampir 60 peratus minyak untuk Jepun lalu di selat ini. Iran menjadi negara yang amat penting untuk keselamatan perjalanan minyak yang menjadi asas sistem ekonomi kapitalis.
Justeru, apabila Shah Reza dihalau keluar dan Iran menjadi republik pada tahun 1979, maka Iran terus dicap sebagai musuh Amerika. Kerajaan Iran dicap sebagai pengganas.
Mengikut ideologi NeoCon, tidak akan dibenarkan lagi muncul mana-mana negara yang berkemungkinan bangun untuk menentang atau berani engkar tidak mengikut telunjuk Amerika Syarikat. Tidak juga Iran, tidak juga China, tidak juga Rusia akan dibenarkan menggugat kepentingan Amerika dalam dunia hari ini.
Dunia unipolar
Era dua negara super/ two super powers – Amerika dan Soviet Union seperti di zaman Perang Dingin dahulu tidak akan dibenarkan muncul lagi. Yang wujud hari ini adalah dunia unipolar – dunia Amerika dan empayar Amerika.
Justeru, apa yang kita lihat berlaku di Iraq, di Libya dan di Syria adalah contoh di mana rejim-rejim yang engkar atau culas dan tidak berkiblat ke Rumah Putih sedang dilupuskan. Semua ini adalah perancangan NeoCon. Semua yang berlaku hari ini adalah strategi perancangan mengimplementasikan Projek Amerika Alaf Baru.
Ketika tulisan ini digarap, media antarabangsa sedang berdondang sayang tentang kemungkinan Iran berjaya menjadi kuasa nuklear. Saban hari rakyat dunia diberitahu betapa kita dalam bahaya jika Iran memiliki senjata nuklear. Tidak cukup dengan dondang sayang ini, kita juga dapat membaca komen-komen dari pegawai tentera Amerika yang telah bersara. Mereka memberi amaran agar ‘dilakukan sesuatu’ (baca: serang) terhadap Iran sebelum terlambat.
Kita juga berpeluang membaca komen dari bekas tim risikan Amerika dan Britain. Mereka mengabsahkan bahaya yang akan menimpa dunia jika Iran memiliki bom nuklear. Jika semua ini tidak meyakinkan dunia maka Isreal dan Mossad akan mengeluarkan data dan gambar tentang loji nuklear bawah tanah sebagai bukti yang Iran sedang membuat bom nuklear.
Pada ketika ini semuanya sedang diatur mengikut perancangan. Di Pulau Socotora yang terletak di antara Laut Merah dengan Telok Aden, bala tentera Amerika sedang dikumpulkan. Pada akhir bulan Mac ini akan cukup 100,000 bala tentera Amerika dari semua pasukan berkampung di Socotora. Jumlah 100,000 ini sama dengan jumlah tentera Amerika ketika Bush Junior ingin menyerang Iraq dalam tahun 2003 dahulu.
Sebelum perang pecah dan Iran diserang, para zionis saperti Ehud Barak terus mengolah persetujuan orang ramai agar melihat Iran sebagai musuh dunia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan mengenakan sekatan ekonomi seperti yang telah dilakukan kepada Iraq dahulu.
Media pro-Zionis akan terus berdondang sayang untuk memastikan rakyat dunia akan melihat Ahmadinejad presiden Iran sebagai Hitler baru. Bila label telah dibubuh maka amat senang untuk ditembak.
**Hishamuddin Rais
0 comments:
Post a Comment