Wednesday, January 19, 2011

Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

foto Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

fajridil.blogspot.com - Bila saya membaca berita tentang pembakaran buku Interlok, saya tidak terperanjat. Novel Interlok garapan Abdullah Hussain ini telah menjadi berita kerana dikatakan ada unsur rasis dan penghinaan terhadap orang India.

foto Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

Sebenarnya, membakar buku di Malaysia ini bukan satu yang baru. Pertama kali saya terbaca berita membakar buku ini ketika di sekolah menengah pada tahun 1970 dahulu.

Buku 13 Mei: Sebelum dan Sesudah telah dibakar di Sudut Pidato di hadapan perpustakaan Universiti Malaya. Saya tidak pasti apakah ini kerja Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya atau pun kerja Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

foto Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

Buku itu adalah garapan Tunku Abdual Rahman, yang pada ketika itu perdana menteri Malaysia. Buku ini dibakar kerana ketika itu anak-anak mahasiswa amat marah terhadap Tunku. Tunku dibenci kerana dikatakan telah mengadaikan kepentingan Melayu dan menjual negara ini kepada tauke Cina.

Agak ironis, tidakan mahasiswa di Universiti Malaya ini disebabkan pada 10 Mei 1933 anak anak mahasiswa Jerman juga telah membakar 25,000 buah buku. Angka besar adalah judul buku yang dianggap tidak 'bersemangat Jerman'. Ini berlaku di zaman Hitler berkempen untuk membakar semangat Aryan yang berkulit putih, bermata biru dan berambut merah bagimeluaskan pengaruh politik Nazi.

foto Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

Interlok ada menggunakan perkataan 'paria' yang dianggap rasis oleh orang India. Ada juga ayat-ayat lain yang tidak disenangi oleh orang India. Sama ada perkataan paria dalam Interlok ini rasis atau tidak, bukan ini yang ingin saya garap. Saya ingin membuka ke satu rentang yang lebih luas. Saya ingin membuka persejarahan kata, makna dan tanda dalam pembudayaan negara bangsa.

Harus disedari bahawa bunyi kata-kata yang keluar dari mulut kita ini tidak memiliki apa-apa makna. Makna yang kita kahwinkan dengan bunyi itu didatangkan kemudian.

Misalnya bunyi "ke-la-pa". Bunyi ini tidak memiliki apa-apa makna kepada orang Sweden. Tetapi ia memiliki makna untuk orang Malaysia. Makna ini lahir dari alam persekitaran, dari sesuatu budaya bangsa, bukan dari bunyi perkataan itu. Kewujudan pokok yang tinggi menjulai ini melahirkan perkataan ke-la-pa. Benda-benda yang wujud dalam alam inilah yang melahirkan perkataan. Perkataan ini diberi oleh budaya persekitaran.

Baju Cina, baju Keling

Mari kita lihat perkataan "keling", yang pada satu ketika dahulu ada tuntutan di mahkamah agar ia dilupuskan dari Kamus Dewan. Untuk saya, mamat yang menuntut penlupusan perkataan ini tidak memahami sejarah perkembangan tamadun manusia. Pasti mamat ini tidak ada keupyaan untuk membaca 25,000 buku Jerman. Jauh sekali membaca kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

foto Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

Sila baca kitab Sejarah Melayu ini dan lihat bagaimana perkataan keling itu telah digunakan tanpa memiliki unsur-unsur prasangka, penghinaan atau sikap rasisme. Perkataan keling muncul apabila adanya bukan orang Melaka yang datang dari negara atas angin. Lalu mereka diberi nama keling kerana mereka pendatang baru yang dikatakan rakyat Raja Kalinga.

Bunyi, makna dan tanda di sini bukan ilmiah yang berasakan ilmu alam. Ini tidak penting. Lihat bagaimana hingga sekarang manusia Melayu mengunakan perkataan Benggali sebagai kata nama untuk manusia dari wilayah Punjab, walhal Benggali seharusnya kata nama untuk warga dari wilayah Benggal.

foto Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

Lihat perkataan ini diterima masuk dalam budaya Melayu tanpa prasangka atau niat jahat. Malah ada beribu-ribu perkataan Sanskrit yang telah memperkayakan perbendaharan kata dan pengucapan manusia Melayu.

"Maka Baginda pun perkenan memberi persalinan sepasangan baju Cina dan sepasang baju Keling. Maka apabila anakanda memakai baju Cina maka rupa Cinalah dianya. Apabila anakanda memakai baju Keling maka rupa Kelinglah dianya…"

Di atas adalah ayat dalam buku Sulalatus Salatin yang ditulis 600 tahun dahulu. Satu ketika, lama dahulu konsep prasangka, rasisme dan perkauman ini belum wujud dalam sensibeliti manusia Melayu. Enam ratus tahun dahulu belum wujud perebutan ekonomi yang meruncing. Enam ratus tahun dahulu belum wujud Hindraf atau saham Telekom untuk Maika. Enam ratus tahun dahulu Kugan dan Francis belum lagi ditemui mati dalam rumah pasong.

Malah sensibeliti terhadap perkataan keling atau paria ini datang kemudian dalam budaya Melayu. Ia datang bersama sikap rasisme yang dibawa oleh kolonial British ketika menjajah Tanah Melayu ini. Kolonialisme memerlukan satu idealogi untuk menghalalkan penghisapan tenaga buruh anak-anak tanah jajahan.

foto Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

Justeru mereka yang dijajah wajib dilihat lebih rendah dari tuan penjajah. Yang perlu dijadikan kuli oleh British di ladang getah di Tanah Melayu ialah warga paria kerana mereka adalah warga dari kasta yang terendah dalam budaya Hindu. Yang menjadi mandur dari kasta yang lain. Yang menjadi pengurus juga dari kasta yang lain. Ini adalah cara penjajah.

Kepala angin tak faham

Amat jelas perkataan tanda dan makna paria ini bukan diwujudkan oleh manusia Melayu. Paria ini lahir dari sistem kasta Hindu itu sendiri. Manusia Melayu tidak memiliki nilai penghinaan apabila bertembung untuk kali pertama dengan perkataan ini. Malah yang membawa masuk ke Tanah Melayu nilai penghinan terhadap perkataan paria ini ialah orang-orang dari India itu sendiri yang kini tinggal di Malaysia tetapi dengan bangganya masih mengamalkan sistem kasta.

Jangan silap faham. Apa yang saya tulis ini bukan untuk menunjukkan bahawa manusia Melayu ini suci dan tidak memiliki prasangka atau sifat benci terhadap orang luar. Sikap benci terhadap "orang lain" ini bukan hanya dimonopoli oleh Hitler, kaum Zionis atau kuam penjajah. Ia wujud dan dimiliki oleh semua budaya dan bangsa. Yang ingin saya paparkan ialah bagaimana perkataan melahirkan konsep, tanda dan makna. Dan bagaimana budaya membudayakan perkataan itu.

foto Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

Justeru adalah tidak adil untuk menilai novel Interlok dengan sensibeliti hari ini. Ini samalah juga seperti tidak masuk akalnya untuk kita mengubah kitab Sulalatus Salatin kerana ada menggunakan perkataan keling. Atau kita wajib menggantikan nama Tanjung Keling kerana adanya perkataaan keling disebut bersama perkataan tanjung.

Biar saya bawa keluar ke dunia sastera di Amerika Syarikat. Mark Twain (1835 – 1910) adalah penulis yang telah dinobatkan sebagai penulis agung untuk budaya negara bangsa Amerika. Buku Adventures of Huckleberry Finn adalah kitab wajib untuk seluruh warga Amerika.

Buku Adventures of Huckleberry Finn ini ditulis pada tahun 1885 - 165 tahun dahulu. Dalam buku ini ada menggunakan perkataan "nigger". Pada tahun-tahun 60-an lahirnya pejuangan hak asasi manusia di Amerika Syarikat. Maka lahir satu kesedaran dan sensibeliti baru di mana warga berkulit hitam marah kalau dipanggil nigger. Perkataan ini dianggap rasis.

foto Buku Yang Dibaca, Yang Dibakar

Ketika itu orang berkulit hitam di Amerika tidak marah kalau dipanggil negro. Negro ini bermakna hitam dalam bahasa Sepanyol, seperti aswad dalam bahasa Arab. Kemudian lahir sensibeliti baru di mana perkataaan negro ini juga dilawan dan ditentang. Orang hitam di Amerika Syarikat hari ini mahu mereka dipanggil African America.

Lihat bagaimana berlaku perubahan dan sensibiliti. Ada juga Kepala-kepala angin yang tidak faham tentang sastera dan budaya telah mengkritik buku Mark Twain. Kepala angin di Amerika agak cerah sedikit kerana mereka tahu sadikit sebanyak tentang sejarah dan makna upacara bakar-membakar buku ini. Mereka tidak ingin diasosiasi dengan cucu-cicit Hitler. Hingga ke hari ini buku Mark Twain ini adalah buku wajib untuk sesiapa sahaja yang ingin mengetahui budaya dan sastera Amerika.

Biar saya bawa ke zaman Baitul Hikmah, di zaman pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyid (763-809) dan di zaman anaknya Al-Makmum (813-833). Ini adalah zaman kegemilangan perkembangan ilmu pengetahun di negara Arab yang berpusat di Baghdad. Di zaman ini buku falsafah dari Greek telah diterjemah ke dalam bahasa Arab oleh para ilmuan.

Kempen politik

Al-Farabi dan Ibu Sina, dua ahli falsafah Arab/Islam bukan sahaja menterjemahkan buku-buku Aristotle malah memberi makna dan pengertian baru. Dalam sejarah falafah kuno dan moden Al-Farabi amat penting sekali sehinggakan dinamakan Aristotle Kedua. Tanpa ahli-ali falsafah di Baitul Hikamh ini, tidak akan terbuka zaman Pencerahan di Eropah.

Ini tidak bermakna buku dan falsafah mereka yang mengajukan rasionalisme tidak ada yang menentangnya. Al-Ghazali (1058–1111) yang datang kemudian telah menentang pandangan dan falsafah Al-farabi dan Ibnu Sina. Tetapi bukan dengan membakar buku-buku yang terawal. Apa yang dilakukkan oleh Al-Ghazali ialah menulis buku Tahafut al-Falasifah (Kerancuan Ahli Falsafah) untuk menjawab buku-buku Al-Farabi dan Ibu Sina. Dengan ini memperkayakan debat keilmuan hingga ke hari ini.

Membakar buku untuk menunjukan tentangan adalah senang. Buku Salman Rushdie dibakar. Buku Tunku dibakar dan kini buku Abdullah Hussain pula dibakar. Nyatalah sosok-sosok yang suka membakar buku-buku ini tidak memiliki nilai ilmu pengetahuan dan tidak tahu apa yang seharusnya dilakukan kepada buku. Justeru mereka membakar buku.

Tidak dapat dinafikan bahawa ramai orang India di Malaysia ini merasa diri mereka ditindas. Peratus orang India dalam penjara tinggi berbanding dengan jumlah penduduknya. Ramai anak-anak muda India mati di pelbagai rumah pasong. Ramai orang India tidak memiliki kad pengenalan dan hidup merempat.

Penindasan terhadap orang India ini dilakukan oleh kerajaan yang berpandukan falsafah Ketuanan Melayu. Semua ini betul dan sahih. Tetapi jawapan untuk membebaskan diri dari penindasan ini bukan dengan melupuskan perkataan keling atau menghapuskan konsep paria. Ia memerlukan lebih dari itu.

Untuk membebaskan diri ialah melalui pembacaan. Melalui pembacaan buku-buku, kemungkinan dapat digarap satu pemikiran yang akan membawa harapan dan pembebasan. Membakar buku tidak mendatangkan apa-apa faedah, malah mencemarkan udara. Amat ironis, si pembakar buku tidak mungkin akan akan dilihat berkulit putih, bermata biru dan berambut merah, walaupun membakar Intelok sebagai satu kempen politik untuk membakar semangat kaumnya.


**Hishamuddin Rais

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Post




1 comments:

Anonymoussaid...

Wow! Terima kasih! Saya selalu ingin menulis dalam sesuatu situs saya seperti itu. Dapatkah saya mengambil bagian dari posting Anda ke blog saya?.

 
© Copyright 2009 Fajridil  |  Template by Asral Enterprise