Indonesia vs Malaysia, Final AFF Suzuki Cup 2010
fajridil.blogspot.com - Esok akan berlangsungnya Final pertama AFF SUZUKI CUP di Stadium Negara Bukit Jalil yang akan mempertemukan pasukan Indonesia dan Malaysia. Tanpa disangka, pasukan Malaysia berjaya melangkah ke pusingan akhir setelah bermula agak goyah dengan dibelasah 5-1 oleh Indonesia pada perlawanan pertama peringkat kumpulan.
Perlahan tapi pasti, skuad Malaysia berjaya juga ke perlawanan akhir setelah berjaya mengikat jaguh Asia Tenggara iaitu Thailand, menewaskan Laos dan membenam juara bertahan, Vietnam pada pusingan separuh akhir.
Pastinya pada perlawanan akhir ini akan menjadi medan membalas dendam dan mengubat kekecewaan setelah ditumpaskan Indonesia pada perlawanan pertama tempohari. Keghairahan pasukan Malaysia yang digelar pasukan "Upin dan Ipin" oleh media Indonesia pastinya akan meluap-luap pada perlawanan esok hari.
Tapi harus juga diingat, pasukan Indonesia tampil sangat menyakinkan dengan memenangi semua perlawanan untuk mara ke perlawanan akhir kali ini. Memang jelas kelihatan bahawa pasukan Indonesia lebih padu dari semua sudut terutamanya dibahagian serangan. Ditambah pula dengan kehadiran dua pemain import berdarah Indonesia atau "naturalisasi" dengan salah seorang pemain berkenaan bergelar "legend" iaitu Cristian Gonzales atau nama Islamnya Mustafa Habibi Gonzales yang mana pernah beberapa kali menjadi top scorer di Liga Indonesia. Malah di AFF SUZUKI CUP kali ini, Gonzales juga sedang menjadi penjaring terbanyak dengan 3 gol setakat ini. Seorang lagi pemain "naturalisasi" Indonesia adalah Irfan Bachdim yang mana beliau sebelum ini adalah bekas penuntut di akademi bola sepak untuk kelab Ajax Amsterdam.
Kedua-dua pemain tersebut memang menjadi ancaman serius di kubu pasukan Malaysia ditambah lagi dengan kelincahan pemain sayap Indonesia iaitu Oktovianus Maniani di sebelah kiri dan Muhammad Ridwan di sebelah kanan. Trik, kecepatan, kawalan bola dan hantaran mereka seringkali menjadi duri dalam daging pasukan lain, tidak terkecuali oleh pasukan Malaysia sendiri.
Yang menariknya, seluruh rakyat di Indonesia tidak kira dari rakyat biasa hingga ke Presiden memberi sokongan padu untuk pasukan kebangsaan mereka. Itu sudah pasti memberi motivasi tambahan kepada para pemain Indonesia untuk memenangkan perlawanan. Presiden Indonesia juga hadir ke stadium untuk menyaksikan setiap perlawanan yang melibatkan pasukan Indonesia.
Media-media Indonesia juga mempublikasikan dengan meluas mengenai pasukan kebangsaannya sehingga seluruh rakyat sangat teruja dengan pasukan kebangsaan mereka.
Di Malaysia, suasananya jelas jauh sekali berbeza. Walaupun perlawanan akhir pertama akan berlangsung di Stadium Negara Bukit Jalil, media-media seperti kurang memberi publisiti kepada rakyat. Jemaah menteri pun langsung tidak bercakap apa-apa mengenai kejohanan kali ini. Perdana Menteri pula sibuk dengan slogan 1Malaysia yang tak habis-habis dihebahkan. Siaran langsung di RTM pun dibuat seperti tidak ikhlas kerana sebelum ini perlawanan disiarkan apabila sudah masuk minit ke-30 sesudah berita habis disiarkan.
Jadi bagaimana hendak berjaya sukan di Malaysia jika perkara-perkara begini masih tidak dapat diselesaikan.
Tidak dinafikan, sebenarnya seluruh rakyat Malaysia mahu melihat pasukan Malaysia memenangi kejohanan kali ini. Tapi jika sokongan dari pihak atasan dan media seperti melepaskan batuk ditangga, rakyat juga pastinya akan berasa kurang bersemangat untuk memberi sokongan ditambah lagi dengan kesempitan hidup akibat kenaikan harga barang yang sedang menjadi-jadi sekarang ini.
Semoga untuk masa akan datang, masalah ini dapat diatasi demi kemajuan sukan negara.
**Aku jangka Indonesia akan menjuarai AFF SUZUKI CUP kali ini.
0 comments:
Post a Comment