Punk Rocker Buat Konsert
fajridil.blogspot.com - Adalah ceritera ini didengar tidak berapa lama dahulu. Ini adalah kisah dari mulut ke mulut. kisah dari warung ke warung. Inilah kisah yang telah menjadi buah cerita dari mulut mak janda hingga ke telinga mak minah yang baru kehilangan dara. Dari mulut pak cik teksi ke telinga Benggali penjual roti. Inilah cerita rakyat yang akan dikisahkan turun temurun hingga ke anak cucu cicit.
Maka akan kayalah khazanah sastera negara. Bertimbun tambah dengan ceritera penglipur lara. Cerita untuk menghilang duka nestapa. Ceritera untuk menyambung tradisi pelanduk jenaka. Untuk menambah kisah jenaka Pak Pandir dan Si Luncai. Untuk menyambung salasilah Pak Kadok dan Lebai Malang. kisah ini ditujukan untuk si anak muda yang dilamun cinta.
Mengikut tuan yang empunya ceritera, kisah ini bermula dalam sebuah rumah yang amat besar lagi berpuaka. Si amah sedang memasukkan kain baju ke dalam beg pakaian. Adalah disurahkan sebanyak 17 buah beg kulit Louise Vuittion - godang dan bosar - telah selesai disusun.
Tiga beg penuh dengan coli bersaiz XXX175. Sebuah beg penuh dengan seluar dalam bersaiz XXX197. Lapan buah beg penuh dengan kain baju yang berenda-renda telah disusun rapi. Dua butir beg penuh dengan alat pemanis muka. Dua beg berkunci ketat penuh dengan intan berlian - gelang, cincin, keronsang, rantai dan anting-anting. Sebuah beg penuh dengan barut dan korset. Kini si amah sedang menyusun sebuah beg besar yang akan dipenuhi dengan kemenyan, setanggi, pulut hitam, lada sulah, bawang putih, katak kering dan satu tengkorak kanak-kanak.
Sebelum dipanjangkan kisah adalah diberitahu bahawa si amah ini berasal usul dari negeri nan jauh. Negeri yang bukan kecik anak. Dari pulau Jawo si amah datang. Badak Berendam nama kampungnya. Surabaya nama pekannya. Bukanlah senang untuk si amah ditemui. Serata Sumatera digeledah dicari. Serata Kalimantan iklan didirikan. Ramai yang melamar ingin menunjuk diri tetapi semuanya gagal. Semuanya tidak termasuk dalam SOP yang diinginkan oleh tuan rumah Puan Seri Bik Mama.
Amah yang ingin dicari wajib tinggi duduk dari berdiri. Berambut pendek dan tidak bergigi. Berambut jarang adalah satu kualiti yang amat amat diingini. Bergigi rongak dan berparut di muka amat diminati. Adalah diketahui rakyat seluruh negeri tentang kisah Puan Seri tidak mahu seorang pembantu yang slim langsing dan segak berdiri.
Telah ditetapkan dalam borang SOP - tinggi si amah tidak boleh melebihi tinggi Puan Seri. Adalah diketahui seantaro negeri jika ada si amah yang slim langsing berambut panjang maka si amah ini akan dibuang ke hujung negeri. Puan Seri akan mengamuk sepanjang hari kerana Datuk Seri Suami Bistari akan mendapat kesedaran dari mimpi bahawa masih ada ramai perempuan lebih cantik dari isteri sendiri.
Mengikut tuan empunya hikayat maka si amah pun terus menyusun beg. Manakala concorong di dapur sedang sibuk bergendang dan menari. Dari mulut concorong berkumandang suara seakan-akan P Ramlee:
Bila Bik Mama hula hoop
Bisul Papa Suami Bistari meletup
Bila Papa Suami Bistari sedang menyanyi
Bik Mama menari rock n roll
Papa Suami Bistari pakai baju ketat
Bik Mama mula pakai barut
Papa Suami Bistari potong celana singkat
Bik Mama potong rambut kontot
Bila Bik Mama pakai yankee
Papa Suami Bistari mula sakit gigi
Tiba-tiba Puan Seri Bik Mama muncul di tepi pintu. Badannya pendek setinggi penyapu. Sanggulnya tinggi membusut jantan. Make-upnya tebal sekerak nasi. Dengan perlahan-lanan Bik Mama mengereng masuk kerana pintu telah menjadi kecil dengan badannya yang obes lagi montok. Mata Bik Mama melihat si amah yang tekun menyusun barang. Si amah tidak berani menaikkan muka.
" Jaket kulit Gucci telah masuk dalam beg? Awas barang mahal ini."
Si amah hanya mengangguk. Dia tidak tahu apa bendanya jaket kulit Gucci.
"Awak tak tahu ke jaket kulit itu Johnny Rotten pernah pakai. Gelang tangan itu kepunyaan Nancy yang dihadiahkan oleh Sid Vicious. Kau ingat aku beli di kedai bundle Pavillion ke? Ini barang aku dapat dari Christie dan Sothbylaaaa. Ini barang rare."
Tangan Amah terketar-ketar ketika melipat kain.
"Kalau tak kerja betul-betul, aku tahu apa nak buat. Nanti baru kau tahu langit Malaysia ini tingggi."
Si Bibi ini tidak tahu satu apa pun. Dia tidak tahu tentang Puan Seri ini akan membuat persembahan rock di O2 Arena. Bibi dari Surabaya ini tidak pernah tahu kota London. Tidak pernah kenal siapa Sid dan Nancy. Tidak pernah terdengar nama Johnny Rotten. Yang dia tahu dia sedang menunggu duit gaji lima bulan masih belum dibayar.
Mengikut tuan empunya kisah, maka Bik Mama pun diterbangkan ke London. Puan Seri Bik Mama mahu dirinya dilihat lebih rock dari rock kapak. Lebih ligat dari rock kangkang. Lebih rotten dari Johnny Rotten. Lebih vicious dari Sid Vicious. Kalau peminat Michel Jackson, kalau peminat U2 boleh memenuhi stadium O2 Arena, tidak mungkin peminat Bik Mama tidak akan datang berpusu-pusu ke O2 Arena.
Datuk Seri mengikut kata tuan empunya hikayat amatlah takut kepada bininya. Tanpa melengahkan masa Sang Suami telah memberi pelbagai arahan negara untuk mengumpul segala bentuk rakyatnyadi United Kingdom datang ke konsert Bik Mama. Canang dipukul tabuh dipalu. Sebanyak 170,000 poster Bik Mama telah dicetak untuk diedar percuma di London Underground.
Pak duta telah diarahkan memaksa semua pelajar - dari Ireland Utara hingga ke Playmouth di Selatan. Pelajar yang mendapat bantuan kerajaan telah diwajibkan datang. Sebagai ganjaran pelajar Islam akan diberi tiket ke umrah. Pelajar Hindu akan diberi tiket ke Banares. Pelajar Kristian diberi tiket ke Vatican. Pelajar yang tidak beragama akan disunatkan oleh pak duta. Akta ISA , AUKU, Akta Hasutan, Akta Mesin Cetak, semua akan digunakan k eatas pelajar yang enggan datang ke konsert Bik Mama.
Pak duta telah menghantar surat kepada semua warga Malaysia yang bermastautin di United Kingdom meminta mereka hadir. Jika mereka enggan maka hak kerakyatan mereka akan dilucutkan. Tidak cukup dengan segala rancangan ini pak duta telah membeli iklan di akhbar paling tersohor di London. Selama tiga hari muka Bik Mama terpampang di muka tiga akhbar The Sun London.
Mengikut surah yang didengar, pada malam kosert yang diceritakan ini, Bik Mama telah datang dengan Limosin berpintu tujuh. Lapan pengawal peribadi, semunya mamat hitam dan dibantu pula oleh tiga orang juru karate dari Korea.
Tidak cukup dengan ini, dikhabarkan juga seramai lima belas guru silat cekak pinggang turut sama menjaga keselamatan Bik Mama. Apa yang menarik, guru silat ini semuanya menggunakan ilmu ghaib. Mereka mengawal Bik Mama dari bilik pengawal bangunan di Gombak Setia.
Di bilik belakang pentas Bik Mama sedang memakai jaket kulit Gucci. Lengan Bik Mama dikat dengan stud berpaku-paku. Berpuluh gelang telah dipasang di lengan. Anting-anting tengkorak bergoyang di cuping telinga. Scarf Hermes melingkari leher Bik Mama. Kasut boot telah digilap. Bik Mama telah mula menggoncangkan badan. Bik Mama telah bersedia untuk 'mengrock' kota London.
Pintu stadium telah dibuka awal lagi. Cuaca di kota London cukup enak. Musim bunga telah sampai. Panas pun tidak sejuk pun tidak. Hujan tidak ribut pun tidak. Sayang seribu kali sayang ribuan penonton yang diharapkan datang tidak sampai-sampai.
Pada jam 7 petang, kelihatan 32 orang pelajar dari East London Poly yang datang. Mereka datang kerana telah diberitahu tentang mi goreng, sate dan karipap akan dihidangkan percuma. Jam 8.30 lampu O2 Arena mula bersinar-sinar. Tetapi dewan masih kosong.
Jam 9.30 malam kelihatan pak duta mundar mandir. Bercakap tidak henti-henti dengan telefon bimbit. Bahasa badan Pak Duta ini menunjukkan bahawa dia yakin akan ditukarkan ke Jabatan Hal Ehwal Nelayan Kota Belud atau menjadi penulis minit mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan. Pak duta merasa tertekan kerana stadium masih kosong. Tiba-tiba satu letupan suara kedengaran, seolah-olah langit runtuh.
"Mana lagi satu beg?"
Tiba-tiba Bik Mama menjerit.
Semua kelam kabut. Semua takut. Datuk Seri lari ke dalam jamban buat-buat kena sembelit. Pak duta lari ke luar. Tidak ada sesiapa yang tahu beg apa yang dimaksudkan oleh Bik Mama. Seingat Pak Duta kesemua 16 beg Louise Vuittion telah dibawa ke belakang pentas.
Bik Mama sedang melihat mukanya di cermin muka. Dia memerlukan bantuan. Tetapi bukan bantuan make up yang diperlukan. Bik Mama memerlukan kemenyan, setanggi, pulut hitam, lada sulah, bawang putih dan katak kering.
Ini ubatan jampi serapah tok bomoh dari Senaling. Semua bahan-bahan ini wajib dibakar dalam tengkorak. Asapnya wajib disapukan ke muka. Asap ini akan menjadikan Bik Mama kelihatan manis dan dan bergetah. Bik Mama akan kelihatan muda dan berseri sebagai rock star.
Adalah mengikut tuan yang empunya ceritera, muka Bik Mama pada malam konsert itu tidak dapat dibantu-bantu. Segala bentuk make up telah gagal. Konsert Bik Mama di O2 Arena malam itu telah menjadi Bik Mama Horror Show.
Sementara itu, untuk menyedapkan cerita di tepi Sungai Pontian, seorang amah Indonesia sedang mengheret sebuah beg kulit Louise Vuittion. Selama lima bulan gaji si amah ini tidak dibayar. Dia melarikan diri. Dia ingin naik perahu menyeludup pulang ke Pekan Baru. Beg kulit ini kelihatan amat berat. Dia tersenyum sambil membuka beg tangan Birkin dan menghulur tiga keping duit seratus kepada tekong perahu. END
**Hishamuddin Rais
Saturday, June 9, 2012
Punk Rocker Buat Konsert
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Online Users
Total Pageviews
Backlinks
About Me
- fajridil adha
- aku budak biasa yg berasal dr kg masjid masai jb.idup serba sederhana n selalu ceria tp kekadang garang juga. ^_^
Followers
My Link List
Popular Posts Last 7 Days
-
Walau perlahan tapi pasti, seorang lelaki berjaya mencuri hati anda. Namun sayang, sekian lama meunggu, si dia masih tak mengucapkan kata ...
-
cinta pada bunga kan layu akhir nya cinta pada harta kelak kan musnah binasa akhirnya cinta pada manusia tiada kan kekal selamanya ci...
-
Cara Mengenal Perempuan/Gadis Yang Masih Dara (Perawan). DAHI Gadis yang masih suci, dahinya licin. Bila selalu senggama licinnya hilang, ma...
0 comments:
Post a Comment