Monday, August 2, 2010

Hukum Murtad

foto Hukum Murtad


Sekilas Berkenaan Hukum Murtad

fajridil.blogspot.com - Berkenaan "Hukum Murtad" ni, aku tujukan khas untuk kawan sekolah aku dulu yang kini telah bertukar ke agama lain. harapnya dia dapat kembali ke pangkal jalan..


A) Definisi murtad.

B) Kategori orang murtad dan hukumannya.

C) Hikmah di sebalik hukum murtad.

D) Menganalisa dan menjawab beberapa syubhat berkenaan hukum murtad.

Sebelum bermula, ingin saya gariskan beberapa perkara terlebih dahulu:

1. Risalah ini adalah sebuah penulisan ilmiah. Sesuatu yang berdasarkan dalil dan hujah sudah pasti akan memiliki perbezaan dalam beberapa sudut berbanding sesuatu yang menjadi ikut-ikutan. Oleh itu seandainya ditemui sesuatu pandangan yang berbeza dalam penulisan ini, harap perbezaan tersebut dapat dinilai betul atau salah berdasarkan dalil dan hujah bukan emosi atau semangat.

2. Sesuatu yang ilmiah tidak bererti sempurna. Maka dialu-alukan apa-apa pembetulan, pembaikan dan perbandingan daripada para pembaca sekalian.

3. Peranan risalah ini hanyalah mengupas hukum murtad dari sudut dalil-dalilnya serta penjelasan para ilmuan Islam. Ada pun pelaksanaannya di Malaysia, maka ia adalah sesuatu yang agak rumit kerana suasana rakyat Malaysia yang berbilang agama, ditambah lagi dengan realiti umat Islam Malaysia yang berpecah kepada sekian-sekian jamaah dan parti. Maka risalah ini hanyalah bersifat teori manakala praktikalnya di serah kepada para agamawan dan cerdik pandai negara.[1]

4. Sepertimana penulisan saya yang lain, sejauh yang boleh saya akan menggunakan sumber rujukan dalam bahasa Malaysia, Indonesia dan Inggeris, sama ada ia adalah hasil asli atau hasil terjemahan. Tujuannya adalah untuk memudahkan para pembaca sekalian melanjutkan kajian mereka dalam topik ini kepada sumber-sumber tersebut.



A: Definisi Murtad.

Dari sudut bahasa, “Murtad” adalah dari bahasa Arab yang berasal daripada perkataan “Riddah”. Kamus-kamus bahasa Arab menjelaskan bahawa riddah bermakna kembali daripada sesuatu kepada selainnya. Oleh itu dari sudut bahasa, murtad bermakna orang yang kembali daripada sesuatu kepada selainnya.[2]

Ada pun dari sudut syara’, dengan merujuk kepada penjelasan para ilmuan Islam, murtad ialah seorang muslim mukallaf yang keluar daripada agama Islam sama ada dengan kepercayaan, perkataan atau perbuatan, dengan kehendaknya sendiri.[3]



B: Kategori Orang Murtad Dan Hukumannya.

Orang yang murtad beserta hukumannya terbahagi kepada tiga kategori:

1. Orang yang murtad, namun menyembunyikannya.
2. Orang yang murtad dan menzahirkannya.
3. Orang yang murtad dan menzahirkannya serta menyerang Islam dengannya.

Penjelasannya adalah seperti berikut:

Kategori Pertama: Orang yang murtad, namun menyembunyikannya.

Orang yang murtad namun menyembunyikannya kemurtadannya sehingga tiada siapa yang mengetahui kecuali ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat, tidak dijatuhkan hukum hudud di dunia. Hukuman mereka adalah di sisi Allah di Hari Akhirat kelak.

Orang murtad dari kategori pertama inilah yang disinggung oleh sekian banyak ayat al-Qur’an, salah satu daripadanya:

وَمَنْ يَرْتَدِدْ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَيَمُتْ وَهُوَ كَافِرٌ فَأُوْلَئِكَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأُوْلَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ.

Dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya (Islam) lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya. [al-Baqarah 2:217]

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizhahullah menjelaskan:

Islam tidak menjatuhkan hukuman bunuh atas orang yang murtad yang tidak menghebahkan murtadnya dan tidak menyeru orang lain agar murtad sepertinya. Islam membiarkannya agar menerima balasannya di akhirat kelak jika dia mati dalam kekafirannya itu. Allah berfirman……(lalu beliau mengemukakan ayat 217 surah al-Baqarah di atas).[4]

Sebelum itu dalam risalah Berkenalan Dengan Ciri-Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah Dalam Pelaksanaan Hukum Jenayah, telah saya jelaskan bahawa hukuman hudud hanya dijatuhkan apabila jenayah tersebut dilakukan secara terbuka, yakni dizahirkan kepada khalayak ramai. Ada pun jika jenayah tersebut dilakukan secara tertutup, maka hukuman di dunia tidak dijatuhkan. Ini kerana antara tujuan hukuman hudud dijatuhkan adalah untuk menghindar sesuatu jenayah yang dilakukan secara terbuka di khalayak ramai daripada menjadi ikutan dan fitnah kepada masyarakat. Dalam hal ini Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

اجْتَنِبُوا هَذِهِ الْقَاذُورَةِ الَّتِي نَهَى الله عَنْهَا فَمَنْ أَلَمَّ فَلْيَسْتَتِرْ بِسَتْرِ الله وَلْيَتُبْ إِلَى الله. فَإِنَّهُ مَنْ يُبْدِ لَنَا صَفْحَتَهُ نُقِمْ عَلَيْهِ كِتَابَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Jauhilah perkara-perkara keji yang telah dilarang oleh Allah, sesiapa yang telah melakukannya, hendaklah dia menutupinya dengan tutupan Allah dan bertaubat kepada Allah. Ini kerana jika sesiapa menampakkan perkara keji (yang dilakukannya) kepada kami, kami akan menjatuhkan hukuman yang telah diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla.[5]



Kategori Kedua: Orang Yang Murtad Dan Menzahirkannya.

Orang yang murtad lalu menzahirkannya atau mengumumkannya dengan apa cara sekali pun seperti media cetak, media elektronik, internet, Sistem Pesanan Ringks (SMS) dan sebagainya, maka dia dijatuhkan hukuman bunuh setelah terlebih dahulu diberi tempoh dan diajak untuk bertaubat. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ.

Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.[6]

Ada pun berkenaan permintaan taubat, terdapat perbincangan di kalangan para ilmuan dan ia menghasilkan lima pendapat:[7]

1. Wajib meminta orang murtad untuk bertaubat.
2. Dianjurkan meminta orang murtad untuk bertaubat.
3. Harus meminta orang murtad untuk bertaubat.
4. Wajib meminta taubat kepada orang yang asalnya kafir, kemudian memeluk Islam, kemudian murtad. Permintaan taubat tidak dibolehkan bagi orang yang asalnya Islam, kemudian murtad.
5. Orang yang murtad tidak perlu diminta untuk bertaubat melainkan memadai diperintahkan untuk kembali kepada Islam sambil diacukan pedang di lehernya.

Setelah mengemukakan lima pendapat di atas serta menganalisa dalil-dalil setiap pendapat, Syaikh Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim hafizhahullah menjelaskan pendapat yang terkuat:[8]

Dalam pandangan saya, dan Allah sahaja yang lebih mengetahui, bahawa nas yang disampaikan secara terus kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam hanya menunjukkan kewajipan hukuman mati terhadap orang yang murtad. Dan ini sudah merupakan ketetapan dasarnya. Akan tetapi jika imam (atau hakim) berpendapat untuk menundakan (hukuman) dan menilai permintaan taubat terhadap orang yang murtad sebagai langkah kebijaksanaan yang memiliki maslahat, maka hal itu boleh dilakukan, sesuai dengan perbuatan para sahabat yang (sememangnya) terpercaya.

Juga atas dasar keumuman firman Allah Subhanahu wa Ta’ala: Kemudian jika mereka bertaubat dan mendirikan solat serta memberi zakat, maka biarkanlah mereka (jangan diganggu). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Taubah 9:05]

Saya turut bersetuju dengan kesimpulan di atas. Dalam suasana banyaknya fitnah kepada Islam pada akhir zaman ini, sama ada dari kalangan umat Islam sendiri atau dari kalangan bukan Islam, adalah dianjurkan agar hakim menunda hukuman untuk tempoh yang tertentu agar orang yang menzahirkan tindakan murtadnya diberi kaunseling dan diajak untuk bertaubat.

Jika dirujuk kepada hukuman para tokoh al-Salaf al-Shalih rahimahumullah, akan didapati bahawa mereka berbeza-beza dalam menundakan hukuman.[9] Ada yang menjatuhkan hukuman bunuh serta merta, ada yang menundanya selama 3 hari, 20 hari, sebulan dan sebagainya. Semuanya bergantung kepada kemaslahatan yang ingin dicapai dalam kes yang berbeza-beza. Walaubagaimana pun ingin ditegaskan bahawa sekali pun mereka berbeza-beza dalam tempoh penundaan, pada akhirnya hukuman bunuh tetap dijatuhkan jika orang yang murtad enggan bertaubat atau tidak menunjukkan harapan untuk bertaubat.



Kategori Ketiga: Orang Yang Murtad Dan Menzahirkannya Serta Menyerang Islam Dengannya.

Orang yang murtad dan menzahirkannya serta menyerang Islam dengan apa cara sekali pun, sama ada dengan menggunakan senjata, pena, lisan, pemikiran serta menggunakan bantuan orang bukan Islam dan munafik, maka mereka ditangkap dan dibunuh serta merta tanpa diberi tempoh dan diajak untuk bertaubat. Pengecualian adalah jika mereka bertaubat sebelum ditangkap, maka taubat mereka diterima.

Berkenaan orang murtad kategori ketiga ini, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ: النَّفْسُ بِالنَّفْسِ وَالثَّيِّبُ الزَّانِي وَالْمَارِقُ مِنْ الدِّينِ التَّارِكُ لِلْجَمَاعَةِ.

Tidak dihalalkan darah seorang muslim yang bersaksi bahawasanya tiada tuhan selain Allah dan bahawasanya aku adalah Rasulullah melainkan salah satu dari tiga perkara:

1. Membunuh,
2. Penzina yang sudah bernikah dan
3. Orang yang meninggalkan agamanya serta memisahkan diri dari jamaah (umat Islam).[10]

Yang dimaksudkan sebagai: “…orang yang meninggalkan agamanya serta memisahkan diri dari jamaah (umat Islam)” adalah orang murtad dan menzahirkannya serta menyerang Islam dengannya. Ini dijelaskan oleh sebuah hadis yang lain:

لاَ يَحِلُّ دَمُ امْرِئٍ مُسْلِمٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ إِلاَّ بِإِحْدَى ثَلاَثٍ: رَجُلٌ زَنَى بَعْدَ إِحْصَانٍ فَإِنَّهُ يُرْجَمُ وَرَجُلٌ خَرَجَ مُحَارِبًا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ فَإِنَّهُ يُقْتَلُ أَوْ يُصْلَبُ أَوْ يُنْفَى مِنْ الأَرْضِ أَوْ يَقْتُلُ نَفْسًا فَيُقْتَلُ بِهَا.

Tidak dihalalkan darah seorang muslim yang bersaksi bahawasanya tiada tuhan selain Allah dan bahawasanya Muhammad adalah Rasulullah melainkan salah satu dari tiga perkara:

1. Seorang yang berzina setelah dia menjaga kehormatannya dengan perkahwinan, maka sesungguhnya dia direjam,
2. Seorang yang keluar (dari Islam dan jamaah, lalu) memerangi Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia dibunuh atau disalib atau dibuang negeri dan
3. Seorang yang membunuh satu jiwa, maka dia dibunuh sebagai hukum timbal balik.[11]

Mereka ditangkap dan dibunuh serta merta tanpa diberi tempoh dan diajak untuk bertaubat berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلاَفٍ أَوْ يُنفَوْا مِنْ الأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنيَا وَلَهُمْ فِي الآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ (33) إِلاَّ الَّذِينَ تَابُوا مِنْ قَبْلِ أَنْ تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (34).

Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas atau dipalang atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang atau dibuang negeri. Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.

Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Maidah 5:33-34]



C: Hikmah Di Sebalik Hukum Murtad.

Sebelum dijelaskan hikmah di sebalik hukum murtad, ingin ditegaskan bahawa sifat orang-orang yang beriman adalah taat sepenuhnya kepada perintah larangan agama tanpa mengira sama ada diketahui hikmah di sebaliknya atau tidak. Kewajipan orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya adalah “Kami dengar dan kami taat” kepada perintah larangan al-Qur’an dan al-Sunnah manakala mengetahui hikmah di sebaliknya hanyalah sesuatu yang harus (mubah) sifatnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ.

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. [al-Nur 24:51]

Kembali kepada persoalan hikmah di sebalik hukum murtad, sejauh kajian saya, penjelasan yang dikemukakan oleh Syaikh ‘Abd al-Qadir Audah hafizhahullah adalah yang paling tepat, dimana beliau berkata:[12]

The raison d’etre of capital punishment for apostasy is Syariah is that apostasy is repugnant to the faith of Islam on which the Islamic society is founded. If this offence is taken lightly, the collective system of Islam may collapse. The severe punishment laid down for it aims at the total elimination of apostasy on the one hand and warning and preventing others from committing it.

Obviously, capital punishment serves as a more effective deterrent than any other punishment. Whatever the factors inciting commitment of the offence, capital punishment stirs up the preventive factors in human psyche and a man refrains as often as not from committing the offence.

Most of the modern law in operation ensure security of the social system by prescribing harshest punishment for those who violate and destroy the system. The first of such punishments is death penalty. In other words, modern laws lay down the same punishment for causing disorder, safeguarding the social system as does the Islamic syariah.

Menarik untuk diperhatikan perenggan terakhir di atas. Kesemua negara yang mengamalkan hukum jenayah konvesional menjatuhkan hukuman mati kepada jenayah yang paling merosakkan sistem negara dan rakyatnya. Ambil saja contoh pengedar dadah di Malaysia. Sesiapa yang didapati mengedar dadah di atas jumlah tertentu akan dijatuhkan hukuman mati. Di sini tidak timbul persoalan “Hak asasi individu untuk mengedar dadah” atau “Dadah itu kegunaan peribadi dan bukan kegunaan orang lain”. Hukuman tetap dikenakan kepada siapa saja yang mengedar dadah, sekali pun yang mengedarnya adalah warga negara asing. Kenapa sedemikian? Jawapannya, kerana dadah adalah perosak kepada sistem negara dan rakyatnya.

Semua ini tidak berbeza dengan hukum jenayah Islam. Antara tujuan utama hukuman hudud disyari‘atkan adalah untuk menghindari sebarang fitnah kepada agama Islam dan umat Islam. Hukuman hudud bersifat tegas kerana hanya dengan ketegasan tersebut manusia akan mematuhinya dan menjauhi jenayah yang dihukuminya.

Antara hukuman hudud yang dimaksudkan adalah hukuman bagi kes murtad. Orang yang menzahirkan murtadnya menimbulkan fitnah kepada Islam dan umatnya. Ia merosakkan sistem Islam yang secara keseluruhannya berperanan mengurusi hal-ehwal kehidupan manusia dalam sesebuah negara, tanpa mengira rakyat negara tersebut beragama Islam atau selainnya. Sama-sama diketahui bahawa Islam bukan sekadar agama solat dan zikir, tetapi ia adalah agama yang mengurusi kepimpinan, politik, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan pelbagai lagi.

Orang yang murtad namun menyembunyikannya (Kategori Pertama), dia tidak dijatuhkan hukuman hudud kerana tindakannya itu tidak diketahui ramai dan tidak sehingga ke tahap menimbulkan fitnah kepada Islam dan umatnya. Maka tidak dijatuhkan hukuman kepadanya di dunia, hukumannya diserahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala di Hari Akhirat kelak.

Apabila tidak dijatuhkan hukuman di dunia, tidaklah bererti Islam meredhai tindakan mereka untuk murtad. Hanya yang dipertimbangkan adalah, jika mereka dihalang daripada murtad, maka mereka akan tinggal dalam masyarakat Islam sebagai seorang munafik dan lambat laun akan tetap membawa fitnah kepada Islam dan umatnya. Maka mereka dibebaskan daripada Islam dengan syarat mereka tidak menzahir atau mengumumkan kemurtadan tersebut. Pada waktu yang sama, Islam tetap membuka peluang untuk mereka kembali kepada Islam satu hari kelak, sekali pun ia mungkin dalam masa 20 tahun akan datang.

Ada pun orang murtad yang duduk dalam Kategori Kedua, tindakan menzahirkan kemurtadannya adalah sesuatu yang mengancam kestabilan Islam dan umatnya. Bahkan ia secara halus adalah satu serangan terhadap Islam dan umatnya. Jika tidak ditangani, ia akan merebak dan menimbulkan fitnah yang meluas. Maka kerana itulah hukuman bunuh dijatuhkan sebagai langkah yang paling efektif untuk menghindari timbulnya fitnah tersebut.

Walaubagaimana pun Islam sebagai agama yang rahmat lagi adil tetap memberi peluang kepada mereka untuk mempertimbangkan semula keputusan untuk murtad. Mereka diberi kaunseling dan peluang untuk bertaubat. Hukuman ditangguhkan selagi mana terdapat harapan bertaubat.

Jika orang yang murtad menyerang Islam dan umatnya (Kategori Ketiga), maka hukuman hendaklah dijatuhkan tanpa lengah. Ini kerana mereka bukan lagi sekadar murtad tetapi telah menjadi dari kalangan orang kafir yang memusuhi Islam dan umatnya. Serangan yang mereka lancarkan hendaklah dipatahkan dan orang yang melancarkannya segera dijatuhkan hukuman bagi menghentikan serangan dan sebagai amaran keras kepada orang lain yang bercadang untuk mengikutinya.


D: Menganalisa Dan Menjawab Beberapa Syubhat Berkenaan Hukum Murtad.

“Hak Asasi Manusia” adalah satu agama yang sedang berkembang pesat masa kini. Kepesatannya menyebabkan sebahagian umat Islam, yang sebelum ini memang menghadapi masalah sikap kekerdilan diri, terpengaruh dengannya. Mereka berpandangan Islam juga memberi perhatian kepada “Hak Asasi Manusia”, tetapi tidak tahu apa dan bagaimana. Akhirnya mereka mencairkan Islam agar ia larut ke dalam agama “Hak Asasi Manusia” buatan manusia. Akhirnya mereka juga melaungkan slogan: “Kami Muslim yang turut menjaga hak asasi manusia!”

Bersama slogan ini, mereka meletak beberapa syubhat, iaitu keraguan dan kesamaran, ke dalam syari‘at Islam. Antara yang masyhur adalah berkenaan hukuman hudud bagi kes murtad. Dalam kesempatan ini, saya akan kemukakan beberapa syubhat yang lazim mereka kemukakan, kemudian menganalisa dan menjawabnya.



Syubhat Pertama: Hukum Murtad Tidak Terdapat Dalam al-Qur’an.

Ini adalah syubhat yang paling masyhur. Ia dijawab, bahawa syari‘at Islam tidak hanya terkandung dalam al-Qur’an tetapi kedua-dua al-Qur’an dan al-Sunnah. Kita umat Islam bukan sahaja disuruh mentaati Allah tetapi juga mentaati Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Orang yang membezakan antara Allah dan Rasulullah, membezakan antara al-Qur’an dan al-Sunnah, lalu mengingkari Rasulullah dan al-Sunnah, maka mereka bakal ditimpa fitnah yang besar atau diazab oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala:

فَلْيَحْذَرْ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَنْ تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ.

Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah), beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [al-Nur 24:63]

Bahkan orang yang enggan menerima keputusan hukum Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan penuh kerelaan dan ketenangan, mungkin sahaja ia adalah tanda kecacatan iman dalam diri mereka:

فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّى يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُوا فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا تَسْلِيمًا.

Maka demi Tuhanmu! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya. [al-Nisa 4:65]

Oleh itu hendaklah berhati-hati agar jangan membezakan sama ada sesuatu perintah larangan atau hukum, sama ada berkenaan hukuman murtad atau selainnya, terkandung dalam al-Qur’an atau al-Sunnah.



Syubhat Kedua: Dalil Hukum Murtad Adalah Sebuah Hadis Ahad.

Sebelum ini terdapat satu pendapat yang berkata konon Hadis Ahad tidak dapat dijadikan dalil dalam persoalan aqidah kini muncul pula pendapat yang berkata Hadis Ahad juga tidak dapat dijadikan dalil dalam persoalan hukum hudud.[13]

Semua ini hanya alasan untuk menjatuhkan hadis daripada syari‘at Islam. Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, Hadis Ahad menjadi dalil dalam semua persoalan agama. Ada pun perbincangan sebahagian ahli usul zaman terkemudian berkenaan peranan Hadis Ahad, sama ada ia dapat dijadikan dalil atau tidak, maka perbincangan mereka hanya ditujukan kepada Hadis Ahad yang berdiri dengan sendirinya. Sebaliknya jika Hadis Ahad tersebut memiliki pembuktian (qarinah) atau sudah terkenal dan menjadi amalan orang ramai, maka ia adalah dalil yang pasti tanpa sebarang perbincangan lagi. Imam al-Syaukani rahimahullah (1250H) menjelaskan:[14]

Ketahuilah bahawa perbezaan pendapat yang kami sebut pada awal perbahasan ini berkenaan Hadis Ahad sama ada menghasilkan ilmu yang berupa sangkaan atau kepastian, ia hanyalah berlaku apabila Hadis Ahad tersebut tidak disertai dengan pembuktian yang menguatkannya. Adapun jika ia disertai dengan pembuktian yang menguatkannya atau ia sudah masyhur atau dikenali secara terperinci, maka perbezaan tersebut tidak berlaku.

Merujuk kepada hadis-hadis berkenaan hukum murtad, ia adalah hadis yang masyhur sepanjang sejarah Islam dan para ilmuan Islam telah bersepakat untuk menjadikan dalil berdasarkannya. Berkata Syaikh Wahbah al-Zuhaili hafizhahullah ketika mengupas hukum bagi orang murtad:[15]

Ulama’ bersepakat tentang wajibnya hukuman bunuh ke atas orang murtad berdasarkan sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam: Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia.



Syubhat Ketiga: Hadis Hukum Murtad Memiliki Kelemahan.

Ada juga yang berpendapat, selain hadis hukum murtad adalah sebuah Hadis Ahad, ia juga memiliki kelemahan dalam sanadnya. Seorang penulis bernama Nawab Azam Yar Jang dalam bukunya Proposed Political, Legal and Social Reforms Under Muslim Rule, ms. 86[16] meragui kesahihan hadis “Sesiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia” dengan berkata:

……there is a gap between Ikramah and Ibn Abbas and again between the latter and the Prophet, in the chain of narrators. (Rangkaian perawinya terputus antara Ikramah dan Ibn Abbas, juga antara Ibn Abbas dan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam)

Ini adalah satu penilaian yang agak aneh kerana sanad yang terdiri dari rangkaian perawi Ikrimah, daripada Ibn Abbas, daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah amat masyhur lagi jelas kesambungannya. Ikrimah adalah budak kerja Ibn Abbas manakala Ibn Abbas adalah anak saudara Rasulullah. Masing-masing saling bertemu, pernah hidup bersama dan meriwayatkan hadis dengan jumlah yang banyak.



Syubhat Keempat: Hukum Murtad Bertentangan Dengan Konsep Tiada Paksaan Dalam Agama.

Ramai yang mendakwa atau bertanya, bukankah hukum murtad bertentangan dengan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

لاَ إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنْ الغَيِّ.

Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). [al-Baqarah 2:256]

Dakwaan atau pertanyaan ini dijawab, bahawa hukuman murtad tidak memiliki apa-apa kaitan dengan ayat di atas. Ini kerana hukuman murtad tidak ditujukan kepada pilihan agama seseorang, tetapi ditujukan kepada sikap seseorang yang menzahirkan pilihannya untuk murtad dari agama Islam. Penzahiran itulah yang menyebabkan hukuman dijatuhkan bagi mengelak pilihannya itu daripada menimbulkan fitnah kepada Islam dan umatnya.



Syubhat Kelima: Hadis Arab Badwi Yang Menarik Bai‘ahnya.

Dalam Shahih al-Bukhari terdapat sebuah hadis seperti berikut:

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ جَاءَ أَعْرَابِيٌّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعَهُ عَلَى الإِسْلاَمِ فَجَاءَ مِنْ الْغَدِ مَحْمُومًا فَقَالَ: أَقِلْنِي. فَأَبَى ثَلاَثَ مِرَارٍ. فَقَالَ: الْمَدِينَةُ كَالْكِيرِ تَنْفِي خَبَثَهَا وَيَنْصَعُ طَيِّبُهَا.

Daripada Jabir (bin ‘Abdillah) radhiallahu ‘anh, seorang Arab Badwi datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan membai‘ah baginda di atas Islam. Kemudian dia datang pada esok harinya dalam keadaan menderitai demam yang berat, lalu berkata: “Perkenankan untuk aku menarik bai‘ahku.” (Rasulullah) enggan mengembalikannya. Dia mengulangi permintaannya sebanyak tiga kali. Akhirnya Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Madinah adalah seumpama alat peniup api seorang tukang besi, ia mengeluarkan yang tidak baik dan membiarkan yang baik”.[17]

Dalam Shahih Muslim, ianya adalah seperti berikut:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ أَنَّ أَعْرَابِيًّا بَايَعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَصَابَ الأَعْرَابِيَّ وَعْكٌ بِالْمَدِينَةِ فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ! أَقِلْنِي بَيْعَتِي. فَأَبَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. ثُمَّ جَاءَهُ فَقَالَ: أَقِلْنِي بَيْعَتِي. فَأَبَى. ثُمَّ جَاءَهُ فَقَالَ: أَقِلْنِي بَيْعَتِي. فَأَبَى. فَخَرَجَ الأَعْرَابِيُّ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا الْمَدِينَةُ كَالْكِيرِ تَنْفِي خَبَثَهَا وَيَنْصَعُ طَيِّبُهَا.

Daripada Jabir bin ‘Abdillah (radhiallahu ‘anh), bahawasanya seorang Arab Badwi membai‘ah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian dia menderitai demam yang berat di Madinah. Lalu dia mendatangi Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan berkata: “Wahai Muhammad! Perkenankan aku untuk menarik bai‘ah aku.” Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam enggan mengembalikannya.

Kemudian dia datang lagi dan berkata: “Perkenankan aku untuk menarik bai‘ah aku.” Rasulullah tetap enggan mengembalikannya. Kemudian dia datang lagi dan berkata: “Perkenankan aku untuk menarik bai‘ah aku.” Rasulullah tetap enggan mengembalikannya. Akhirnya Arab Badwi tersebut pergi.

Maka Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Madinah adalah seumpama alat peniup api seorang tukang besi, ia mengeluarkan yang tidak baik dan membiarkan yang baik”.[18]

Orang yang meragui hukum murtad berhujah, dalam hadis di atas Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menjatuhkan hukuman murtad ke atas Arab Badwi yang ingin menarik balik bai‘ahnya. Bahkan baginda membiarkan Arab Badwi tersebut pergi begitu sahaja.

Hujah ini ditolak dengan dua cara:

Pertama: Mungkin yang ingin ditarik balik oleh Arab Badwi tersebut adalah bai‘ahnya untuk memeluk Islam. Jika ini kesnya, maka perhatikan bahawa dia memeluk Islam hanya selama sehari tanpa sempat mendalami apa-apa ilmu berkenaan Islam. Justeru dia termasuk dalam kategori orang jahil dan di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, orang yang jahil tidak dikenakan hukuman hudud atas sesuatu jenayah yang dilakukannya. Sila rujuk risalah saya Berkenalan Dengan Ciri-Ciri Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah Dalam Pelaksanaan Hukum Jenayah.

Kedua: Mungkin yang ingin ditarik balik oleh Arab Badwi tersebut adalah bai‘ahnya untuk bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berhijrah dan tinggal di Madinah. Namun sesampainya dia ke Madinah, dia jatuh sakit dan tidak sanggup menderitai ujian tersebut. Maka dia pergi berjumpa Rasulullah dan meminta untuk menarik bai‘ahnya berhijrah dan tinggal di Madinah. Rasulullah enggan mengembalikan bai‘ahnya sekali pun dia mengulangi permintaannya sebanyak tiga kali. Akhirnya dia tetap pergi jua.

Melihat yang sedemikian, Rasulullah menerangkan keistimewaan Madinah yang hanya menerima Muslim yang benar lagi teguh imannya dan mengeluarkan Muslim yang lemah imannya, munafik atau masih jahil.[19] Oleh itu Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menjatuhkan hukuman murtad kerana Arab Badwi tersebut tidak murtad. Dia tidak meminta untuk meninggalkan Islam tetapi sekadar untuk meninggalkan Madinah.



Syubhat Keenam: Kisah Ahli Kitab Yang Beriman Kemudian Murtad.

Orang yang meragui hukum murtad juga berhujah dengan kisah sekumpulan Ahli Kitab yang beriman pada waktu pagi, kemudian murtad pada waktu petang. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menjatuhkan hukuman murtad kepada mereka. Kisah sekumpulan Ahli Kitab tersebut terdapat dalam al-Qur’an:

وَقَالَتْ طَائِفَةٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ آمِنُوا بِالَّذِي أُنْزِلَ عَلَى الَّذِينَ آمَنُوا وَجْهَ النَّهَارِ وَاكْفُرُوا آخِرَهُ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ.

Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab (sesama sendiri): “Berimanlah kamu kepada al-Quran yang diturunkan kepada orang-orang yang beriman itu pada sebelah pagi dan kufurlah pada petangnya, supaya mereka (merasa ragu-ragu, lalu) kembali menjadi kafir semula.” [Ali Imran 3:72]

Hujah ini dijawab bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tidak menjatuhkan hukuman murtad kerana sekumpulan Ahli Kitab tersebut pada asalnya tidak pernah memeluk Islam. Mereka hanya melakukan tipudaya untuk mengelirukan umat Islam dengan cara berlakon sebagai seorang Muslim pada waktu pagi dan kembali kepada agama asal pada waktu petang. Jika sekali pun hendak dikategorikan perbuatan sekumpulan Ahli Kitab tersebut sebagai murtad, ia hanya murtad dari sudut bahasa, tidak dari sudut syara’.



Syubhat Ketujuh: Pendapat Imam Ibrahim al-Nakha’e dan Imam Sufyan al-Tsauri.

Imam ‘Abd al-Razzaq rahimahullah (211H) dalam kitabnya al-Musannaf, jld. 10, ms. 166, riwayat no: 18697 telah mengemukakan pendapat seorang tokoh al-Salaf al-Shalih yang bernama Imam Ibrahim al-Nakha’e rahimahullah (95H) bahawa orang yang murtad diminta untuk bertaubat selama-lamanya. Ini juga merupakan pendapat Imam Sufyan al-Tsauri rahimahullah (161H). Pendapat kedua-dua tokoh ini dijadikan hujah oleh mereka yang meragui hukum murtad, bahawa orang yang murtad hanya diminta untuk bertaubat tanpa dijatuhkan hukuman bunuh.

Pendapat kedua-dua tokoh al-Salaf al-Shalih di atas telah dianalisa oleh para tokoh terkemudian. Jika hendak difahami secara zahir, sebagaimana ulas Imam Ibn Qudamah rahimahullah (620H), ia adalah pendapat yang menyelisihi sunnah dan ijma’.[20] Melainkan yang dimaksudkan oleh kedua-dua tokoh tersebut adalah, orang yang murtad ditangguhkan hukumnya selagi mana ada harapan untuk dia bertaubat. Demikian jelas Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah rahimahullah (728H).[21] Jika tiada harapan untuk bertaubat, hukuman bunuh tetap dijatuhkan.



Syubhat Kelapan: Murtad Masuk Dalam Kategori Takzir Dan Bukan Hudud.

Orang yang ingin menabur kesamaran dalam hukuman murtad juga berhujah bahawa terdapat sebahagian ilmuan Islam yang meletakkan jenayah murtad dalam kategori takzir dan bukannya hudud.

Hujah ini dijawab, bahawa:

1. Hukuman takzir tersebut hanya merujuk kepada jenayah murtad dalam Kategori Kedua.
2. Hukuman takzir tersebut hanya dalam tempoh sementara menunggu orang murtad tersebut bertaubat dan kembali kepada Islam. Sementara menunggu dia bertaubat, hakim boleh menjatuhkan hukuman takzir seperti mewajibkan kaunseling, kuarantin, penjara dan sebagainya. Akan tetapi setelah berlalunya tempoh tertentu dan dia masih enggan bertaubat atau tiada harapan untuk bertaubat, maka hukuman bunuh (hudud) tetap dijatuhkan.

Antara tokoh yang dikatakan meletakkan jenayah murtad dalam kategori takzir ialah Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Ini kerana dalam tulisannya Siyasah al-Syar‘iyyah fi Islah al-Ra‘iy wa al-Ra‘iyyah[22] beliau telah meletakkan perbincangan berkenaan jenayah murtad dalam bab Kemaksiatan-kemaksiatan yang baginya tiada hukuman tertentu dan kafarah (jld. 28, ms. 343). Sekali pun demikian, ketika menyentuh berkenaan jenayah murtad dalam bab tersebut (jld. 28, ms. 347), beliau berkata:

……orang yang murtad diminta bertaubat sehingga kembali kepada Islam. Jika bertaubat, dia diterima kembali dan jika tidak maka dibunuh.

Justeru sekali lagi ditegaskan, hukuman takzir yang dimaksudkan hanya dalam tempoh sementara menunggu orang murtad tersebut bertaubat dan kembali kepada Islam. Jika dia enggan bertaubat, maka hukuman hudud tetap dilaksanakan.



[1] Lebih lanjut tentang kerumitan yang saya maksudkan, rujuk buku saya Marilah Berkenalan Dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam bab berkenaan politik, terbitan Jahabersa, Johor Bahru, 2007.

[2] Arieff Salleh Rosman – Murtad Menurut Perundangan Islam (Univ. Teknologi Malaysia, Skudai, 2001), ms. 7.

[3] Arieff Salleh Rosman – Murtad Menurut Perundangan Islam, ms. 7.

[4] Jinayat al-Riddah wa ‘Uqubah al-Murtad fi Dhau’i al-Qur’an wa al-Sunnah (edisi terjemahan oleh Zaharan Mohamed & Mohd. Akhir Yaacob atas judul Jenayah Murtad dan Hukumannya Menurut Perspektif al-Qur’an dan al-Sunnah (Rmi Multimedia, Shah Alam, 2000), ms. 56.

[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Hakim dalam al-Mustadrak, hadis no: 7615 (Kitab al-Taubah wa al-Inabah) dan beliau berkata: “Hadis ini sahih atas syarat kedua-dua syaikh (al-Bukhari dan Muslim) dan mereka tidak mengeluarkannya.” Ini dipersetujui oleh al-Zahabi.

[6] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6922 (Kitab Istitabah al-Murtaddin… Bab hukum lelaki yang murtad dan wanita yang murtad).

[7] Syaikh Abu Malik Kamal bin al-Sayyid Salim – Shahih Fiqh al-Sunnah wa Adillatuh wa Taudih Mazahib al-A’immah (edisi terjemahan oleh Khairul Amru & Faisal Saleh atas judul Shahih Fiqh al-Sunnah; Pustaka Azzam, Jakarta, 2007), jld. 4, ms. 262-266

[8] Shahih Fiqh al-Sunnah, ms. 266.

[9] Rujuk riwayat-riwayat tersebut dalam al-Musannaf karya Imam Abd al-Razzaq (tahqiq: Habib al-Rahman al-‘Azhami; al-Maktab al-Islami, Beirut, 1983), jld. 10, ms. 164 dan seterusnya (Bab berkenaan kafir sesudah iman).

[10] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6878 (Kitab al-Diyat, Bab firman Allah: “Jiwa dibalas dengan jiwa”).

[11] Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no: 4353 (Kitab al-Hudud, Bab hukuman bagi orang yang murtad).

[12] Al-Tasyri’ al-Jina’i al-Islami Muqarinan bi al-Qanun al-Wad’i (edisi terjemahan oleh Zakir Aijaz atas judul Criminal Law of Islam; Kitab Bhavan, Delhi, 1999), jld. 3, ms. 58-59.

[13] Lebih lanjut berkenaan Hadis Ahad, rujuk risalah saya Kedudukan Hadis Ahad: Dari Zaman Awal Islam Sehingga Kini yang dimuatkan dalam buku Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah (Buku 1) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.

[14] Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haq min ‘Ilm al-Usul (tahqiq: Muhammad Hasan bin Muhammad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999), jld. 1, ms. 203-204.

[15] Fiqh al-Islami wa Adillatuh (edisi terjemahan oleh Ahmad Shahbari Salamon atas judul Fiqh dan Perundangan Islam; Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1997) jld. 6, ms. 178.

[16] Sebagaimana dikemukakan oleh S.A. Rahman dalam bukunya Punishment of Apostasy in Islam (Kitab Bhavan, Delhi, 1996), ms. 64. Rahman kemudian menolak hujah ini dengan berkata: “This may not perhaps appeal to many as a solid ground for rejection of the hadith which figures in several well known compilations”. Mohammad Hashim Kamali dalam bukunya Freedom of Expression In Islam (Ilmiah Publishers, Kuala Lumpur, 1998), ms. 93 berkata: “Rahman finds some weakness in its transmission (isnad).” Ini adalah satu kesilapan kerana yang mendakwa wujudnya kelemahan adalah Nawab Azam Yar Jang. Rahman hanya menukil dakwaan tersebut, bahkan setelah itu menolaknya.

[17] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1883 (Kitab al-Haj, Bab Madinah mengeluarkan yang tidak baik).

[18] Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1383 (Kitab al-Haj, Bab Madinah mengeluarkan yang buruk darinya).

[19] Kemungkinan kedua inilah yang lebih kuat kerana ia dikemukakan al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (544H) dalam Ikmal al-Mu’lim bi Fawa‘id Muslim (tahqiq: Yahya Ismail; Dar al-Wafa’, Kaherah, 1998), jld. 4, ms. 500. Juga secara ringkas oleh Imam al-Nawawi rahimahullah (676H) dalam al-Minhaj Syarh Shahih Muslim bin al-Hajjaj (Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut), jld. 5, ms. 276-277 dan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah (852H) dalam Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (edisi terjemahan oleh Amiruddin atas judul yang sama; Pustaka Azzam, Jakarta, 2004), jld. 4, ms, 394.

[20] al-Muqhni (Dar al-Fkr, Beirut, 1997), jld. 10, ms. 75 (Kitab al-Murtad, masalah no: 7086).

[21] Dr. Shalah al-Shawi – Taqrib al-Sharim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul li Syaikh al- Islam Ibn Taimiyah (edisi terjemahan oleh Ghunaim Ihsan & Ali Ma’mun atas judul Pedang Terhunus: Hukuman Mati Bagi Pencaci Maka Nabi s.a.w.; Griya Ilmu, Jakarta, 2006), ms. 241.

[22] Sebagaimana dalam Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa, Kaherah, 2001), jld. 28, ms. 244 dan seterusnya.


sumber : soaljawab

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Post




0 comments:

 
© Copyright 2009 Fajridil  |  Template by Asral Enterprise