Wednesday, July 14, 2010

Mengatasi Gangguan Syaitan Dan Jin, Syirik Atau Sunnah?

foto Mengatasi Gangguan Syaitan Dan Jin, Syirik Atau Sunnah?

Mengatasi Gangguan Syaitan: Antara Syirik Dan Sunnah

fajridil.blogspot.com : Sakit dan ketidak-ketenteraman yang terhasil dari gangguan syaitan bukan lagi sesuatu yang asing di dalam masyarakat kita. Walaupun masyarakat barat di masakini langsung tidak mempercayai kewujudan syaitan, apalagi mempercayai kesan buruk yang boleh diberikan syaitan kepada manusia, namun bukti yang ‘membanjiri’ mereka, hatta bukti yang datang secara saintifik, memaksa mereka mula untuk mengkaji dan mempercayai hal ini. Keadaan ini mengingatkan penulis bahawa suatu ketika dahulu, saintis psikologi tidak mempercayai wujudnya fikiran kognitif, namun kehadiran psikologi kognitif telah menyangkal idea mereka secara mutlak. Begitu juga halnya dengan alam ghaib, atas bukti yang melampau banyaknya, tidak mustahil suatu hari nanti mereka akan menerimanya secara total.

Berbalik kepada tajuk asal kita. Apabila seorang dari kita diganggu jin atau syaitan, pada kebiasaannya kita akan merujuk kepada golongan-golongan yang lebih tahu di dalam selok belok hal ini, iaitu biasanya golongan ustaz. Penulis teringat kisah-kisah orang terdahulu, yang memandang segala bacaan atau teknik yang digunakan golongan ini langsung tidak akan dipersoal, kerana bagaimana carapun yang mereka gunakan, akan diterima oleh orang awam, atas nama ‘ikhtiar’.

Alhamdulillah, kini telah wujud ramai golongan yang mula khuatir dengan kemurniaan aqidah mereka, adakah teknik perubatan yang digunakan oleh si fulan bertepatan dengan kehendak Al-Quran dan Sunnah yang sahih? Adakah teknik yang mereka gunakan tidak terlibat dengan najis syirik? Bagaimana impak teknik yang bercampur gaul dengan syirik itu ke atas keimanan kita? Adakah kita turut Allah tuliskan sebagai hambaNya yang berlaku syirik?

Maka persoalan-persoalan inilah yang akan cuba dikupaskan di sini. Penulis juga akan turut membawakan beberapa isu lain yang dipandang berkaitan dengan perihal ini.

1) Pastikan bahawa sakit itu adalah sakit yang berpunca dari jin dan syaitan.

Ini merupakan perkara asas yang perlu dilakukan. Jikalau ada tanda-tanda sakit seperti batuk yang tidak terhenti, muntah tanpa diketahui punca, atau dengan kata-kata lain, tanda-tanda sakit yang mungkin juga berpunca dari sakit fizikal yang normal, cubalah bawakan dahulu berjumpa doctor, kerana jikalau sakit itu sakit fizikal, buruk padahnya jika lambat diubati. Hal ini penulis pandang sangat-sangat penting, kerana ramai penulis berjumpa orang yang asal sakit sedikit, ‘ada orang buat’, demam lambat sembuh, ‘ada orang dengki lah tu’, dan sebagainya. Akhirnya sakit yang ringan menjadi bertambah berat dan sampai ke tahap yang sukar diubati lagi.

Namun jikalau sakit itu benar-benar nyata keanehannya, seperti tanda kena cakar dan berdarah, muntahkan paku atau miang buluh, maka itu jelas perbuatan sihir. Yang penulis maksudkan di atas ialah tanda-tanda yang ada kemungkinan sakit fizikal.

Penulis juga suka ingatkan di sini, hal-hal seperti nampak lembaga yang menakutkan, atau mendengar bisikan-bisikan suara, itu juga ada kemungkinannya memerlukan perhatian pakar minda, seperti ahli psikologi. Pernah penulis terserempak dengan kes seorang pemuda berumur 15 tahun, yang asyik berkata dia nampak makhluk-makhluk dengan wajah yang menakutkan, dan dipercayai dia diganggu jin. Maka penulis menasihatinya berjumpa dengan pakar psikologi klinikal, dan alhamdulillah setelah mengambil ubat yang diberikan, fikirannya telah kembali seperti biasa, tanpa perlu bantuan ‘bomoh’ dan sebagainya. Tambahan pula, pelbagai bomoh telah dia upah, akhirnya ribuan ringgit habis dan penyakitnya tidak juga pulih!

Jikalau kemungkinan 1) fizikal dan kemungkinan 2) masalah mental telah diketepikan, maka sahlah sakit itu besar kemungkinannya dari gangguan anak cucu Iblis. Selain dari symptom-simptom yang biasa kita dengar, ada juga beberapa symptom lain yang juga kerap kali kita terlepas pandang, seperti:-

i) rasa tidak tenang hati, selalu rasa serba tidak kena.
ii) rasa takut yang tidak diketahui puncanya.
iii) Terlalu sukar untuk bangun solat.
iv) Jikalau sudah bersuami isteri, terasa tidak senang apabila bersama.
v) Selalu rasa cenderung kepada marah, walaupun tiada apa untuk dimarahkan.

Jikalau ada tanda-tanda ini, maka ada kemungkinannya gangguan telah bermula.

2) Melawan sihir dengan sihir.

Jika ada di antara kita yang sakit, dan dibawakan kepada bomoh yang nyata-nyata menggunakan sihir di dalam berubat, maka ini adalah haram hukumnya. Kerana sihir itu termasuk di dalam amalan syirik, kerana sihir menggunakan perantaraan syaitan di dalam berubat. Bagi orang awam, antara tanda-tanda bahawa si pengubat menggunakan sihir adalah:-

i) pesakit dinasihati supaya menjauhkan diri dari air selama mana dia sakit. Ini jelas teknik sihir, kerana syaitan mahu menjauhkan kita dari wuduk dan mandi hadas, dan apabila kita tidak boleh berwuduk atau mandi hadas, jelas kita akan meninggalkan solat yang wajib!

ii) Menggunakan kemeyan dan asap. Sama sekali tidak ada di dalam teknik perubatan Rasulullah saw. Kaedah baginda saw akan diterangkan di bawah.

iii) Menggunakan jampi serapah yang tidak difahami. Khususnya jikalau si pengubat menggunakan perkataan seperti ‘ya rijaalul ghaib’ (wahai orang-orang ghaib!) dan juga ‘ya arawaahal muqaddasah’ (wahai roh-roh yang suci). Juga bukan dari kaedah baginda saw, kerana haram kita memohon pertolongan dari yang ghaib, selain Allah saw.

iv) Menggunakan pengeras seperti telur ayam, ayam panggang, pulut kuning dan sebagainya.

Jikalau ada tanda-tanda di atas, maka jauhilah.

Suka juga penulis ingatkan, selain dari kaedah yang digunakan si pengubat, adalah penting bagi kita untuk melihat kepada keperibadian si pengubat itu sendiri. Jika amalan hariannya kita lihat sesuai dengan amalan Rasul saw, seperti kerap berpuasa, solat sunat yang banyak, banyak berfikir tentang selok-belok agama, suka mengajarkan kepada orang lain, fasih membaca Al-Quran, bahkan memahami dan selalu menceritakan isi kandungannya kepada orang lain, menghayatinya, menyintai sunnah Nabi saw, maka insyaAllah, dia adalah pengubat yang baik.

Tambah lagi, selalunya mereka yang berubat dengan menggunakan sunnah baginda saw, selalunya akan mengajak wakil dari pesakit untuk mendengarkan bacaan jampi yang digunakan, bagi mengelakkan fitnah.

Adapun kalau si pengubat rokok sentiasa di tangan, solat mengajinya jarang dilihat, jampi serapahnya sukar difahami, bunyinya pun karut marut, maka lebih baik dijauhi.

3) Hukum berubat dengan pengubat yang kita tidak tahu amalannya baik atau buruk, dan tidak diketahui kaedahnya sunnah atau tidak.

Ketika seorang dari kita sedang sakit teruk, dan dibawakan kepada seseorang yang tidak kita ketahui bagaimana kaedahnya, adakah sunnah atau tidak, maka ini hukumnya HARUS, kerana kata ulama’, kita di dalam keadaan dharurat, sakit, takkan pula ketika itu kita sibuk menyuruh si pengubat bacakan jampinya bagi kita memastikan betul salahnya. Maka keadaan ini, harus hukumnya untuk berubat dengannya, dan kesalahannya, andaikata dia beramal dengan jampi yang salah, maka dosanya adalah di atas diri pengubat.

Adapun si pengubat yang baru sahaja kita melangkah masuk ke rumahnya, sudah dia berkata ‘aku tahu apa yang telah terjadi pada dirimu’, maka itu secara pasti pengamal sihir. Kerana hatta Rasulullah saw sendiri tidak tahu perkara ghaib seperti perihal seorang manusia yang tersembunyi. Kerana itu jelas kita melihat di dalam sirah, tanpa pemberitahuan dari Jibrail as, Rasulullah saw tidak akan tahu siapakah orang munafik di antara pengikutnya!

Ini kerana bomoh atau tukang tilik mengetahui perkara ghaib dari perkhabaran qarin, iaitu syaitan yang mendampingi kita setiap waktu. Di dalam hadis sahih bukhari, Rasulullah saw bersabda, “Wahai Aisyah! Syaitanmu telah membuatmu berasa demikian”, tanya Aisyah, “bersamaku ada syaitan?” Jawab baginda saw, “Ya”. Tanya Aisyah, “Adakah bersama semua manusia ada syaitan pendamping (qarin)?”, jawab baginda saw, “Ya”. Tanya Aisyah lagi, “Engkau juga ya Rasulullah?”, jawab Rasulullah saw, “Ya, tetapi dengan izin Allah aku terpelihara dari kejahatannya”.

Qarin, atau syaitan pendamping inilah yang berhubungan dengan bomoh, iaitu qarinnya berhubung dengan qarin si pesakit, dari situlah bomoh mengetahui hal-hal yang telah terjadi kepada pesakit. Maka dengan ini, tahulah kita bahawa tipu daya syaitan itu sebenarnya lemah.

4) Kisah Nabi saw disihir.

Terdapat hadis di dalam sahih Bukhari yang meriwayatkan bahawa baginda saw pernah disihir, dan sihir itu telah memberikan kesan kepada fizikal baginda saw. Baginda saw kadang-kala menjadi pelupa dan sering berasa lemah. Sebelum baginda saw disihir, baginda saw diberi kekuatan untuk bersama dengan isteri-isteri baginda saw seramai 9 orang di dalam satu malam, dan ketika baginda saw disihir, baginda saw tidak mampu untuk memenuhi keperluan isteri baginda walaupun hanya seorang pada satu malam. Selama enam bulan keadaan ini berlanjutan, sehinggalah pada suatu malam ketika baginda saw sedang tidur (tetapi hati baginda saw terjaga, dan ini merupakan keistimewaan seorang Rasul, kerana hati para rasul tidak pernah lekang dari mengingati Allah swt), baginda mendengar Jibrail as datang dan duduk di hujung kepala baginda, dan Mikail as juga datang dan duduk di hujung kaki baginda saw. Maka baginda saw mendengar Mikail bertanya kepada Jibrail, “Apakah yang telah terjadi kepada lelaki ini?”, jawab Jibrail, “Disihir”.

Maka Jibrail as membacakan jampi, dan diberitahukan kepada baginda saw di manakah punca datangnya sihir ke atas baginda saw. Lalu pada siangnya baginda saw memerintahkan Ali ibnu Abi Talib ra untuk ke sekian perigi, di kampong sekian, yang mana airnya kotor seperti nanah. Di dalam perigi tersebut, Ali ra mendapati ada sehelai rambut baginda saw yang disimpul sebanyak sebelas simpulan.

Maka dibawakan rambut itu kepada Jibrail as, dan dengan itu turunlah surah Al-Falaq dan surah An-Naas serentak. Jibrail membacakan “Qul ‘auzu birabbil falaq”, maka terurai satu simpulan, “min syarrima khalaq”, maka terurai satu lagi simpulan, dan begitulah seterusnya sehingga habis surah An-Naas. Kerana itu kita lihat jumlah ayat di dalam surah Al-Falaq dan An-Naas adalah sebelas ayat. Dan selepas itu sembuhlah penyakit Rasulullah saw.

5) Kaedah perubatan Rasulullah saw.

Di antara perubatan yang sunnah bagi mengubati gangguan jin dan syaitan adalah:-

i) Membaca surah Al-Baqarah ke telinga si pesakit. Baringkan si pesakit dan bacakan surah Al-Baqarah di telinganya, kerana syaitan sangat takut kepada surah Al-Baqarah. Sabda Nabi saw di dalam musnad Ahmad Hanbal, “Janganlah jadikan rumah kamu sunyi seperti kuburan. Rumah yang dibacakan surah Al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan”.

ii) Membacakan surah Al-Falaq dan An-Naas, dan menyuruh pesakit mengamalkannya, seperti mana kita lihat di dalam hadis di atas.

iii) Membaca “a’uzu bikalimaatillah at-taammah, min syarrima khalaq”, iaitu aku berlindung dengan kalam Allah, daripada kejahatan yang Dia ciptakan. Ini merupakan amalan yang diajarkan kepada Rasulullah saw kepada para sahabat. Juga dari amalan sunnah banyak membaca “A’uzubillahi minas syaitaanir rajiim”.

iv) Membacakan ayat Kursi sebelum tidur. Kata syaitan sendiri kepada Abu Hurairah ra, “Sesiapa yang membacakan ayat Kursi setiap kali sebelum tidur, maka dia tidak akan dihampiri syaitan hingga ke pagi”, dan amalan ini disahihkan oleh Rasulullah saw.

v) Membacakan jampi Jibrail as ke atas pesakit, iaitu “Bismillahi arkiq, min kulli syai’in yukziq, wa min kulli sharrin haasid, Allahu yushfiq, bismillahi arkiq”, yang bermaksud, “Dengan nama Allah aku jampikan engkau, dari segala apa yang mengganggu dirimu, dan dari segala kejahatan orang yang dengki, Allah lah yang menyembuhkan kamu, dengan nama Allah aku jampikan engkau”. Jampi ini dibacakan Jibrail as ketika hadis sihir nabi di atas, dan Rasulullah saw sembuh setelah sekali bacaan. Jampi ini juga boleh dibacakan ke atas air, dan diberikan kepada pesakit untuk mandi dan minum.

vi) Menggunakan daun bidara untuk dijadikan air mandi kepada pesakit, atau diberikan kepada pesakit untuk di hidu. Kaedah ini dipelopori oleh Ibnu Taimiyah. Ini kerana beliau mendapati jin amat alah kepada bau daun bidara. Kaedahnya, ikatkan sedikit daun bidara kepada batu-batu kecil, dan rendamkan di dalam botol berisi air. Ambil sedikit air dari botol dan dicampurkan di dalam air mandian, paling kurang selama seminggu.

vii) Mencari punca sihir, sepertimana di dalam hadis, dan menghapuskannya. Ini merupakan kaedah yang paling berkesan di dalam mengubati sihir.

viii) Adapun cara yang terakhir tetapi juga terpenting, adalah si pesakit menyemak semula amalan dan disiplin dirinya menurut Islam. Jikalau ada di dalam hati perasaan hasad, dengki, enggan menutup aurat dan sebagainya, maka perbaikilah segera. Ini kerana syaitan, menurut Imam Ahmad Hanbal adalah seperti anjing yang kelaparan. Jika di tangan kita ada tulang dan daging, berapa kali kita halaupun anjing itu, ia akan datang kembali, kerana kegemarannya ada pada kita. Begitu juga syaitan. Syirik, bidaah, hasad dan sebagainya, adalah kegemaran syaitan, maka betapa baik si pengubat atau kaedah yang digunakan, jikalau si pesakit sendiri enggan berubah, maka tidak hairan jikalau gangguan datang semula.

Sesungguhnya tiada nasihat yang lebih baik dari perkataan Rasulullah saw, dan tiada sunnah yang lebih baik dari sunnah Rasulullah saw. Bagindalah sebaik-baik bapa, sebaik-baik suami, sebaik-baik jeneral peperangan, sebaik-baik guru, sebaik-baik pemimpin, sebaik-sebaik sahabat, dan sebaik-baik ciptaan. Dengan bantuan Al-Quran dan sunnah yang sahih, insyaAllah segala gangguan dapat kita hindari.

Begitu sahaja penulis dapat garapkan di sini. Mudah-mudahan dapat dikongsi bersama.

Ya Allah…jauhilah kami dari gangguan Iblis dan anak cucunya, laknatilah mereka, dan jauhilah mereka dari hambaMu yang soleh.

Ya Allah…tingkatkanlah kecintaan dan kefahaman kami kepada sunnah Muhammad saw, leraikan prasangka kami terhadapnya andai ada, berikanlah kami kefahaman tentangnya dan jauhilah kami dari kejahilan tentangnya.

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia saw, keluarga dan sahabat baginda.

Ya Allah…sudahkah aku sampaikan pesananMu….?


sumber : abu-intisaar

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Related Post




2 comments:

Anonymoussaid...

thanx utk info... ad x kaedah utk membuktikan bkn kita yg menyihir seseorg itu.. kerana sy tlh dftnh menyihir bkal isteri sy..

Anonymoussaid...

loh kokjadi yang ngaku paling beber kaya TUHAN aja. ga boleh gitooooo

 
© Copyright 2009 Fajridil  |  Template by Asral Enterprise